Antarabangsa

Rampage – Filem Makhluk Gergasi Yang Agak Tipikal

Setelah kejayaan dalam filem Jumanji: Welcome to the Jungle menjadi filem paling laris dalam sejarah Malaysia, Dwayne Johnson kembali dengan filem makhluk gergasi bertajuk Rampage. Ia sememangnya berada dalam radar filem kami dan berikut adalah pendapat kami mengenainya setelah berpeluang menonton filem tersebut.

Rampage – Filem Makhluk Gergasi Yang Agak Tipikal

Filem Rampage berkisah mengenai satu projek kajian pengubahsuaian genetik rahsia yang dijalankan sebuah syarikat genetik yang diberi nama “Project Rampage”. Kajian yang dijalankan secara rahsia di sebuah makmal angkasa berjaya menghasilkan patogen yang memutasikan makhluk yang menghidunya supaya membesar secara tidak terkawal. Akibat ujian patogen itu terhadap tikus, ia telah menjadi besar dan mengganas di makmal angkasa yang menjalankan projek kajian tersebut. Ini mengakibatkan makmal itu musnah, tetapi seorang penyelidik berjaya melarikan diri dengan 3 sample patogen tersebut. Malangnya, pod angkasanya meletup ketika memasuki atmosfera bumi dan 3 bekas mengandungi patogen itu jatuh ke 3 tempat berlainan.

Sementara itu, Davis Okoye, seorang pakar primat di sebuah pusat perlindungan dan kajian haiwan mempunyai hubungan begitu istimewa dengan seekor gorila Silverback bernama George sehingga mereka berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Pada malam kejadian stesen angkasa musnah, salah satu bekas mengandungi patogen Project Rampage telah jatuh ke sangkar George sekaligus mengubah fisiologi George selama-lamanya. Apakah yang akan terjadi kepada George dan binatang lain yang dijangkiti patogen tersebut? Tontonlah filem Rampage untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Filem Rampage bermula dengan penuh debaran dengan babak makmal angkasa di mana semua krew kecuali seorang penyelidik. Babak ini memberi satu gambaran baik mengenai filem sci-fi ini dan kami menontonnya dengan penuh minat. Namun, setelah bekas patogen tersebut jatuh ke bumi dan setiap satu menjangkiti hanya satu haiwan, filem ini mula menampakkan klisenya. Mengapa ia tidak menjangkiti lebih banyak haiwan memandangkan banyak haiwan di sekelilingnya? Soalan itu perlu ditujukan kepada pengarah. Lagipun haiwan biasanya takut kepada api dan secara naluri akan mengelak kawasan bekas tersebut yang sedang terbakar dan panas. Namun, begitulah Holywood. Kalau tidak klise, tiadalah dramanya.

Sejak babak itu, jalan ceritanya kelihatan boleh dijangka dan klise. Namun, jalan cerita yang kurang memberangsangkan dalam filem ini diimbangi dengan babak-babak aksi yang mendebarkan, hasil penyertaan Department of Homeland Security dan angkatan tentera US yang ditugaskan untuk memburu dan membunuh haiwan yang dijangkiti patogen itu. Selepas itu jalan cerita boleh digambarkan sebagai beberapa babak yang menerangkan jalan cerita diselangi babak-babak aksi perang yang panjang.

Untuk pengetahuan anda, dalam satu laporan berita beberapa tahun dahulu mengenai hubungan angkatan tentera Amerika dengan Holywood, dilaporkan bahawa, jika sesebuah filem itu mahu memaparkan angkatan tentera sebagai komponen utama filemnya, pihak tentera Amerika akan memberikan sokongan penuh kepada pembikin filem tersebut. Sebab itulah dalam filem ini dan filem-filem aksi lain seperti transformers 1 dan 2, anda boleh melihat penampilan angkatan tentera Amerika bukan dalam bilangan kecil, malah usaha penuh dilakukan untuk memaparkan kebolehan penuh angkatan tentera tersebut. Dikatakan ini adalah sebagai satu cara untuk menunjukkan kepada dunia betapa kuatnya angkatan tentera Amerika. Dengan kata lain, sebagai propaganda.

Berbalik semula kepada filem ini, walaupun penampilan tentera yang gah hebat, animasi CGI yang kurang realistik terutamanya dari segi pergerakan haiwan yang mengganas serta objek-objek yang dilemparkan mereka sedikit sebanyak mencacatkan babak-babak aksi yang sememangnya mendebarkan. Strategi ketenteraan dan reaksi orang ramai terhadap makhluk gergasi yang masuk ke kawasan bandar juga sedikit pelik dan kadang kala tidak masuk akal. Ringkasnya, butiran-butiran kecil seperti yang disebut tadi menjadikan filem ini kurang realistik.

Mutu lakonan dan penghasilan watak-watak juga satu isu di mana selain watak-watak hero dan heroine, watak-watak sokongan lain seolah-olah tidak mempunyai bakat atau karakter yang mendalam atau menarik.

Paling teruk adalah kesudahannya yang kami anggap paling tidak masuk akal. Kami tidak mahu memberi spoiler, cukuplah setakat kami mendedahkan apa yang tidak masuk akal ialah “Everybody lived happy ever after”.

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak-babak aksi yang mendebarkan
  • Jalan cerita yang mudah difahami
  • Sedikit lawak jenaka yang lucu

Negatif

  • CGI yang kurang memuaskan di babak perang
  • Jalan cerita yang terlalu ringkas bagi sebuah filem Sci-fi
  • Butiran-butiran kecil yang tidak masuk akal mencacatkan babak-babak dalam filem ini.

Kesimpulan

Sebagai sebuah filem sci-fi, Rampage sememangnya telah gagal. Jalan ceritanya terlalu ringkas dan kurang saintifik bagi memuaskan peminat tegar filem sci-fi. Namun, ia menghidangkan babak aksi yang mendebarkan dan sekali-sekala lawak jenaka lucu yang mampu menghiburkan penonton. Namun harus diingat, terdapat juga babak-babak ganas melibatkan orang dimakan makhluk gergasi yang mungkin mengganggu emosi dan tidak sesuai ditonton penonton yang lebih muda. Walaubagaimanapun kegagalan paling utamanya banyak terdapat pada butiran-butiran kecil yang tidak masuk akal dan menjadikan filem ini kurang realistik. Ia sememangnya bukan sebuah filem yang akan anda ingati setelah melangkah keluar pawagam, walaupun anda terhibur menontonnya.

Penilaian: 6.5/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

The Latest

To Top