Antarabangsa

The Mountain Between Us – Filem Cinta Survival

Kami jarang menonton filem cinta, namun memandangkan kami masih menunggu filem-filem besar untuk membuat kemunculan di pawagam, kami berpeluang menonton filem The Mountain Between Us lakonan Idris Elba dan Kate Winslet.

The Mountain Between Us

The Mountain Between Us – Filem Drama Cinta Survival

Filem Mountain Between Us mengisahkan Ben Bass, seorang pakar bedah neurology dan Alex Martin, seorang jurnalis wanita yang terperangkap di lapangan terbang kerana cuaca salji yang terlalu teruk menyebabkan penerbangan mereka dibatalkan. Mereka tidak saling mengenali, namun memandangkan mereka berdua perlu berada di destinasi mereka segera dan kebetulan mereka menuju ke tempat yang sama, mereka mengambil keputusan untuk mengupah juruterbang persendirian untuk menerbangkan merek ke destinasi mereka menggunakan kapal terbang kecil yang tidak terlibat dengan penangguhan penerbangan.

Namun, apabila terbang merentasi kawasan pergunungan, juruterbang mereka mengalami strok lalu hilang kawalan kapal terbang menyebabkan mereka terhempas. Kedua-dua penumpang serta anjing milik juruterbang terselamat, namun juruterbang telah terkorban. Malangnya Alex telah patah kaki dan tidak boleh bergerak. Mujur Ben seorang doktor yang berjaya merawatnya, tetapi beliau masih tidak boleh berjalan tanpa tongkat.

Setelah beberapa hari terperangkap dan menyedari tiada siapa akan datang menyelamatkan mereka, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berjalan menuruni kawasan pergunungan untuk mencari jalan keluar. Di sinilah bermula kisah mereka.

The Mountain Between Us

Review

Pertama sekali, filem The Mountain Between Us ini merupakan sebuah filem drama cinta bertemakan survival, bermakna ia bukan untuk semua orang. Walaupun admin lelaki, namun admin boleh katakan, tidak ramai lelaki akan minat filem sebegini. Namun, jika seseorang itu (tidak kira lelaki atau perempuan) minat menonton filem cinta atau drama survival, filem ini agak menarik.

Jika filem-filem bertemakan survival banyak memfokuskan kepada bagaimana watak-watak tersebut menyelamatkan diri, filem ini lebih menceritakan mengenai hal-hal peribadi watak-watak dan mengapa mereka berada dalam situasi mereka sekarang. Watak-watak mereka yang mempunyai personaliti yang berbeza terserlah dalam perbualan dan perkongsian mereka. Seorang dengan personaliti tidak suka mengambil risiko dan seorang lagi terlalu banyak mengambil risiko. Sebahagian besar filem ini memfokuskan perkongsian pengalaman antara mereka berdua.

Tetapi suatu yang menarik mengenai filem ini adalah, tidak seperti filem survival lain, filem ini tidak tamat setelah mereka terselamat, sebaliknya terdapat satu babak atau fasa yang lebih penting ditonjolkan selepas mereka selamat dan fasa ini lebih kurang merumuskan pengalaman mereka serta menceritakan apa yang berlaku dan apa mereka rasa selepas mereka diselamatkan. Tidak banyak filem yang mempunyai fasa ini dan satu-satu filem lain yang kami fikirkan mempunyai fasa yang sama adalah filem Castaway lakonan Tom Hanks.

Secara keseluruhannya menonton filem ini berasa seperti membaca sebuah novel. Ini tidak mengejutkan memandangkan filem ini sememangnya dibikin berdasarkan novel dengan tajuk yang sama. Jadi, siapa yang suka membaca novel tentu sukakan filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Menonton filem ini berasa seperti membaca novel.
  • Lakonan watak-watak yang mantap.

Negatif

  • Tiada babak aksi atau lagak ngeri untuk peminat filem aksi
  • Jalan cerita yang ringkas, kerana ia lebih memfokuskan kepada perkongsian antara kedua watak

Kesimpulan

Filem The Mountain Between Us adalah sebuah filem yang bukan sahaja mengisahkan “gunung antara kita” secara hakiki, namun turut membawa maksud secara metafora, iaitu perbezaan atau penghadang antara kedua watak tersebut dalam mereka mengenali antara satu sama lain. Kami berpendapat mereka yang kaki novel tentu akan sukakan filem ini, tetapi jika anda bukan peminat novel, ia mungkin tidak mempunyai impak yang sama kepada anda.

Penilaian: 6.5/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

The Latest

To Top