Antarabangsa

Lego Movie 2 The Second Part – Lucu dan Bermakna

The Lego Movie pertama sememangnya menjadi bualan ramai terutamanya lagunya “Everything is Awesome” yang sangat catchy menjadi siulan penonton selepas menonton filem tersebut. Kini sequelnya, Lego Movie 2 The Second Part kini mula ditayangkan tanpa hype yang sama seperti filem pertama. Mengapa agaknya? Kami sempat menonton filem animasi Lego ini dan di sini kami ulaskan filem tersebut. BTW, Tahukah anda anda boleh membeli tiket wayang menggunakan app Touch and Go? Anda boleh dapat diskaun RM5 untuk setiap pembelian tiket wayang GSC, TGV, MBO dan MMC sehingga hujung bulan ini. (Kami tidak dibayar untuk “iklan” ini, cuma kami hanya bayar RM4.50 untuk tiket wayang ini hasil dari diskaun).

Lego Movie 2 The Second Part

Lego Movie 2 The Second Part – Lucu dan Bermakna

Dalam Lego Movie 2 The Second Part, bandar Lego yang didiami Emmet, Lucy dan rakan-rakan dimusnahkan sekumpulan makhluk asing comel berupa Lego Duplo. 5 tahun kemudian bandar yang telah gersang telah dibina semula dengan diberi nama Apocalypseburg dengan wajah yang buruk dan para penduduknya sangat pesimistik, kecuali Emmet yang sentiasa gembira dan optimistik. Namun beliau sering bermimpi buruk mengenai satu kejadian “Our-Mom-Ageddon“, di mana semua rakan-rakannya ditelan lubang gelap.

Lego Movie 2 The Second Part

Suatu hari satu makhluk asing telah datang dan menculik Lucy, Batman dan beberapa lagi rakan mereka untuk dibawa ke Systar System, sebuah galaksi yang jauh, di mana ketua antara mereka akan berkahwin dengan pemaisuri makhluk asing iaitu Queen Watevra Wa’Nabi.

Emmet yang ditinggalkan kerana dianggap langsung tidak berguna sebagai seorang ketua, bertekad untuk menyelamatkan rakan-rakannya dengan menaiki kapal angkasa ke Systar System. Mampukah beliau menyelamatkan rakan-rakannya? Apakah pula Our-Mom-Ageddon? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Filem ini memang tidak membuang masa sebaik saja ia bermula, ia terus masuk ke isi penting iaitu bagaimana bandar Lego telah jatuh dan bertukar menjadi Apocalypseburg. Bandar Apocalypseburg tidaklah menjadi fokus seperti bandar Lego dalam filem pertama, sebaliknya perjalanan Emmet menyelamatkan rakan-rakannya menjadi fokus utamanya.

Keseluruhan Lego Movie 2 The Second Part sebenarnya menggambarkan hubungan adik-beradik Finn dan Bianca dalam dunia realiti. Jadi segala perkara yang berlaku dalam alam Lego sebenarnya adalah apa yang berlaku di dunia nyata antara Finn dan Bianca. Filem akan berulang-alik memaparkan dunia realiti dan dunia Lego, yang kadang kala sangat lucu kerana dalam dunia Lego satu babak mungkin nampak gah, tetapi dalam dunia realiti babak itu sebenarnya perkara kecil sahaja. Kontra antara dua babak tersebut memang comel dan melucukan.

Jalan cerita filem ini juga penuh dengan putaran plot yang tidak dijangka dan pengenalan karakter baharu yang pelbagai. Mesej yang disampaikan dalam filem ini sedikit cenderung kepada naratif feminist, terutamanya tanggapan cliche mengenai seorang ketua lelaki dan toxic masculinity, namun tidaklah begitu jelas sehingga merosakkan jalan cerita filem.

Seperti biasa juga, lagu-lagunya sangat catchy, walaupun liriknya pesimistik sedikit, bersesuaian dengan suasana suram Apocalypseburg. Lirik lagu-lagunya juga menggambarkan babak yang sedang ditonton, seolah-olah ia sebenarnya dialog, bukan lagu. Dengan kata lain lirik lagunya seperti main hentam saja ikut suka pelakon suara yang menyuarakan watak-watak filem animasi ini dan babak yang ditayangkan ketika itu.

Apa pun, kebanyakan yang menarik mengenai filem ini ada pada pengolahan babak dan jalan ceritanya, dan itu sukar dijelaskan dengan perkataan melainkan anda menonton sendiri filem ini. Secara ringkasnya filem ini sebuah filem kanak-kanak, sesuai untuk golongan ibu bapa yang ingin membawa anak mereka ke pawagam. Ia menghiburkan, lucu dan visualnya sangat menari. Namun, bagi golongan dewasa seperti kami, pasti akan lupa filem ini saat melangkah keluar pawagam.

Positif vs Negatif

Positif

  • Animasi yang baik, lagu tema yang catchy
  • Jalan cerita dan pengolahan babak yang berkesan
  • Sangat menghiburkan

Negatif

  • Yang dah dewasa tu, tengoklah filem lain (kecuali yang bawa anak)
  • Filem yang mudah dilupakan

Kesimpulan

Lego Movie 2 The Second Part tidak syak lagi sebuah filem kanak-kanak, namun terdapat setengah-setengah babaknya yang kami tidak pasti samada kanak-kanak akan faham di mana lawaknya. Sungguhpun demikian, ia sangat menghiburkan untuk kanak-kanak atau mereka yang berjiwa kanak-kanak. Golongan yang dewasa boleh juga menikmati filem ini dan terhibur, namun seperti kami jangka anda akan melupakan filem ini sebaik saja meninggalkan pawagam.

Penilaian: 7/10

IMDB

1 Comment

1 Comment

  1. Pingback: Lego Movie 2 The Second Part – Lucu dan Bermakna - Pisang Panas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

The Latest

To Top