Antarabangsa

Glass – Penutupan Sebuah Trilogi yang Tidak Dijangka

Umum mengetahui bahawa filem Glass adalah sequel kepada filem Unbreakable dan Split arahan M Night Shyamalan . Tetapi ketika filem pertamanya ditayangkan dalam tahun 2000, iaitu filem Unbreakable, tidak ramai yang menjangka ia adalah sebuah filem dalam sebuah trilogi filem arahan pengarah tersebut. Apa pun, kami sempat menonton filem ini dan di sini kami berkngsi pendapat kami mengenai filem ini.

Kredit: Foto dari Disney/Universal/Kobal/REX/Shutterstock (10057143a)

Glass – Penutupan Sebuah Trilogi yang Tidak Dijangka

Filem Glass menyambung kisah selepas berakhirnya filem Split, di mana The Beast atau nama sebenarnya Kevin Wendell Crumb terlepas setelah dikejar pihak berkuasa selepas seorang dari perempuan yang diculiknya, Casey Cooke terlepas dari menjadi mangsanya. Dalam penghujung filem tersebut, David Dunn, hero dalam filem Unbreakable dilihat menonton berita mengenai kejadian tersebut.

Dalam filem Glass, David Dunn dengan dibantu anaknya, menjadi seorang adiwira yang tidak didendang, di mana beliau berusaha melawan jenayah dengan caranya tersendiri. Sepertimana diketahui, beliau mempunyai kekuatan luarbiasa dan kebal. Mengetahui bahawa The Beast telah menculik sekumpulan pelajar sekolah menengah, David berusaha mencari mereka dan akhirnya menjumpai mereka, namun terpaksa berlawan dengan The Beast.

Tanpa dijangka seorang ahli psikologi bernama Dr. Ellie Staple bersama pihak berkuasa telah berjaya menangkap mereka dan membawa mereka ke sebuah hospital mental. Apakah tujuan beliau menangkap mereka? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam.

Review

Pertama sekali, bagi mereka yang tidak menonton filem pertama dan kedua, janganlah tonton filem ini sehingga anda sudah menonton filem-filem tersebut. Jika tidak, anda tidak akan faham langsung filem ini. Bagi yang telah menonton, tontonlah video di bawah yang dibikin oleh IGN untuk mengingatkan kembali kisah-kisah dalam filem sebelum ini.

Berbalik semula kepada review filem ini. Perkara pertama yang anda mungkin perasan dalam babak-babak pertama filem ini ialah babak lawannya yang agak hambar. Secara spesifiknya, David Dunn dan The Beast berlawan tanpa sebarang skill seni mempertahankan diri. Dari situ kita boleh membuat kesimpulan untuk tidak menjangkakan sebarang koreografi berlawan yang menarik. Ia agak mengecewakan memandangkan filem ini berkisah mengenai adiwira.

Apa pun, kekuatan filem ini bukan pada babak lawannya. Jalan ceritanya penuh dengan putaran plot yang menarik dan anda perlu tahu mengenai latarbelakang semua watak-watak utama, jika tidak anda mungkin mudah untuk terlepas poin-poin penting dalam filem ini. Kami tidak mahu mendedahkan banyak mengenai jalan ceritanya, tetapi apa yang kami boleh katakan ia sangat tidak boleh dijangka. Kami biarkan anda menonton sendiri filem ini untuk mengetahui jalan ceritanya.

Dari segi lakonan pula, selain pelakon utama Bruce Willis, Samuel L Jackson dan James McAvoy, mutu lakonan pelakon tambahan lain agak kekurangan, terutamanya pelakon bagi watak Dr Staple yang agak kaku. Atau mungkin begitulah watak seorang ahli psikologi sebenar? Trivia: Pelakon untuk watak anak David Dunn adalah pelakon sama memainkan watak itu dalam filem Unbreakable 19 tahun dahulu.

Apa pun, filem ini sebuah filem dengan topik yang unik. Ia bukanlah sebuah filem adiwira sejati seperti filem-filem Marvel di mana ia memfokuskan kepada aksi dan adventure, sebaliknya sebuah filem yang secara falsafah, mendalami persoalan apakah makna menjadi seorang adiwira. Ia adalah gabungan filem thriller, sci-fi dan sedikit aksi dalam satu. Ada samada menyukainya atau membencinya, tidak di tengah-tengah.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menarik dengan penutup yang memuaskan hati
  • Unik dan bukan sebarang filem adiwira biasa

Negatif

  • Babak lawan yang kurang menarik
  • Lakonan pelakon tambahan yang kurang berkesan

Kesimpulan

Jika anda mengikuti filem-filem Unbreakable dan Split, filem ini adalah filem wajib tonton. Ia menutup kemas kisah dalam trilogi filem M Night Shyamalan sepanjang 19 tahun ini. Pujian harus diberikan kerana pengarah berjaya mengekalkan kesinambungan jalan cerita antara ketiga-tiga filem ini. Penutup filem ini juga satu penutup yang baik dan hanya boleh dibentangkan dengan baik dalam zaman media sosial seperti sekarang. Tetapi jika anda belum menonton filem sebelumnya, atau tidak meminati trilogi ini, lebih baik anda tidak menontonnya. Ia sebuah filem khas untuk peminat trilogi ini.

Penilainan: 7.5/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

The Latest

To Top