Edge of Tomorrow merupakan salah sebuah filem yang dinanti-nantikan tahun ini dan saya sememangnya mempnyai harapan yang tinggi kepada filem ini. Setelah berkesempatan menontonnya hari ini, sememangnya filem ini tidak menghampakan saya.
Edge of Tomorrow [Review]
Edge of Tomorrow mengisahkan satu zaman di masa hadapan di mana bumi telah diceroboh oleh makhluk asing Mimic yang ingin menguasai bumi. Makhluk asing mempunyai satu senjata yang boleh mengawal masa.
Senjata tersebut, yang dinamakan Omega berfungsi dengan kerjasama makhluk asing berpangkat Alpha, satu pangkat tinggi dalam tentera makhluk asing.
Major Cage merupakan seorang pegawai tentera US di dalam bahagian media atau PR dan tidak pernah mengalami latihan peperangan, malah tidak pernah menembak senjata pun. Tentera bersekutu bepangkalan di UK merancang serangan besar-besaran ke tanah besar Eropah, di mana makhluk asing Mimic berpangkalan.
General Brigham yang mengetuai tentera bersekutu memaksa Cage menyertai serangan tersebut. Oleh kerana cuba mengelak, beliau ditangkap dan diturunkan pangkat ke pangkat prebet.
Dalam serangan tersebut yang sememangnya tiada harapan untuk dimenangi, Cage telah membunuh seorang makhluk asing Alpha di mana darahnya telah terpercik padanya. Ini menyebabkan Cage mendapat kuasa mengawal masa, di mana setiap kali dia mati, harinya akan dimulakan semula. Perkara ini hanya dapat disahkannya apabila Cage menemui Rita, seorang askar elit dalam tentera bersekutu.
Bagaimanakah beliau menggunakan kuasanya untuk melawan makhluk asing? Tontonilah filem in di pawagam berhampiran.
Jalan Cerita
Secara ringkasnya saya boleh gambarkan jalan ceritanya sangat padat dan memuaskan hati. Umpama memakan nuggut ayam yang padat dengan isi ayam dan bukan setakat tepung sahaja. Filem ini saya kira mempunyai isi cerita dan bilangan babak-babak kemuncak yang optimum bagi memuaskan penonton tanpa menyebabkan rasa filem tersebut tidak berkesudahan.
Berbeza dengan fiem Godzilla yang mempunyai jalan cerita yang linear dengan satu babak kemuncak di akhir filem tersebut menyebabkan kepuasan menonton filem tersebut kurang memberangsangkan.
Perjalanan Cage dalam menguasai penggunaan kuasanya sangat menarik dan lucu pada mulanya, walaupun filem yang kebanyakannya mengenai peperangan tidak sepatutnya lucu. Namun setelah beratus kali melalui kehidupan yang berulang, beliau mula melalui pelbagai peringkat berlainan dalam perjuangannya.
Peringkat-peringkat berlainan yang menggabungkan unsur semangat, cinta dan inilah sumber kekuatan jalan cerita Edge of Tomorrow di mana ia memberikan kepuasan dalam menontonnya dan kesudahan filem ini merupakan bonus yang memuaskan lagi pengalaman menontonnya.
Lakonan
Pada asasnya, filem ini banyak memfokuskan pada dua watak utama iaitu Cage dan Rita dan watak-watak lain merupakan watak sampingan. Lakonan kedua-dua pelakon utamanya sememangnya hebat dan saya yakin mereka telah berlatih dengan tekun dari segi fizikal untuk mencapai mutu lakonan yang tinggi itu.
Pelakon tambahan dalam filem ini juga baik dan sukar untuk dilihat sebarang cela pada lakonan mereka.
Kesimpulan
Kebaikan
- Jalan cerita yang penuh dengan isi dan memuaskan.
- perkembangan jalan cerita pada kadar yang baik dan menjadikan filem ini tidak membosankan.
- babak peperangan di samping sut robotik yang sememangnya gempak.
Keburukan
- Rekabentuk makhluk asing yang hodoh dan tidak cool. Agak tipikal untuk filem makhluk asing.
- Babak aksinya gempak, tetapi tidaklah terlalu gempak, cuma sederhana.
Filem Edge of Tomorrow sememangnya sala sebuah filem terbaik tahun ini dan walaupun babak aksinya hanya pada tahap sederhana, jalan cerita yang penuh dengan kepelbagaian tema daripada perjuangan hingga ke cinta memebolehkan ia menarik minat penonton dari golongan lelaki dan juga perempuan. Filem ini sememangnya tergolong dalam filem yang mesti ditonton tahun ini.