Antarabangsa

Captive State – Filem Sci Fi yang Berat

Filem sci fi masa kini seolah telah ketandusan idea. Segala yang boleh difikiran telahpun difikirkan oleh para pembikin filem dan amat sukar untuk tampil dengan sesebuah kisah yang original atau unik. Captive State merupakan sebuah filem sci fi yang terbaharu yang sempat kami tonton dan di sini kami berkongsi pendapat mengenai filem ini.

Captive State – Filem Sci Fi yang Berat

Captive State mengisahkan bandar Chicago 9 tahun selepas dunia dijajah dan ditadbir makhluk asing. Kerajaan-kerajaan dunia secara suka rela menyerah diri kepada makhluk asing teresbut kerana tidak ingin dihapuskan. Untuk itu para tali barut makhluk asing ditugaskan untuk mengawal penduduk dengan kawalan kuku besi. Hasilnya segala jenayah berada di paras 0% namun penduduk sentiasa di bawah pemerhatian Special Branch iaitu polis pengintip yang seangkatan dengan Kempeitai dan Gestapo. Manusia pula dipaksa bekerja untuk membina tempat tinggal bagi makhluk asing di bawah tanah.

Gabriel Drummond merupakan adik kepada Rafe Drummond, iaitu pejuang kebebasan yang berjuang untuk kebebasan bumi namun telah mati setelah satu operasi pemberontakan gagal menyebabkan Legislator (makhluk asing) menghapuskan kawasan tempat tinggalnya sebagai hukuman. Gabriel pula melambangkan satu generasi yang telah jemu untuk berjuang untuk mendapatkan kebebasan dan inginkan sesuatu yang stabil.

Satu hari, tanpa disedari, beliau  dilibatkan dalam komplot pemberontak terbesar setakat ini. Apakah yang akan berlaku? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sebenarnya plot filem ini bukan sesuatu yang baharu. Terdapat sebuah siri TV di US bertajuk “Colony” yang mempunyai plot dan latarbelakang yang lebih kurang sama dengan filem ini. Namun siri TV ini telah ditamatkan tahun lepas tanpa sampai ke satu penutup siri yang muktamad.

Filem ini bermula dengan penuh potensi untuk menjadi sebuah filem sci fi yang hebat. Babak-babak pembukaan berlangsung pada awal penjajahan di mana keluarga Drummond cuba melarikan diri dari Chicago dan bapa mereka berazam untuk menubuhkan kumpulan pemberontak bagi menentang penjajahan tersebut. Malangnya ibu bapa mereka telah dibunuh oleh makhluk asing menjadikan kedua adik beradik itu menjadi yatim piatu. Bahagian awal ini mempunyai satu pace seperti sebuah filem sci fi aksi. Kami teruja. Malangnya apa yang kami sangkakan sebuah filem aksi sebenarnya adalah thriller pemberontakan, pengintipan dan penyamaran.

Fast forward 9 tahun, pemberontakan yang diwarisi Rafe Drummond telah gagal dan selepas babak pembukaan, filem ini terus berubah rentak menjadi sebuah filem drama penyiasatan yang berat dan mempunyai pace yang sangat perlahan. Plotnya yang sangat rumit juga mungkin akan menjadi halangan kepada sesetengah orang dari menikmati filem ini. Pada akhirnya, jika anda tidak menumpukan perhatian dan mendalami plot filem ini, anda akan tertanya-tanya apakah sebenarnya motif filem ini.  Tambahan pula, watak utama filem ini, Gabriel seolah-olah tidak menyumbang kepada kemenangan pihak pemberontak.

Namun, jika anda berhenti sebentar untuk memproses plot atau jalan cerita yang telah anda tonton, anda pasti menyedari filem ini bukan sebuah filem yang straight forward. Ia tidak mengisahkan kalah atau menang, ia mengenai kesinambungan perjuangan. Kesudahan filem ini juga tergantung dan memberi ruang kepada penonton untuk membuat kesimpulan sendiri.

Mujur kami berjaya menangkap apa yang ingin disampaikan penulis sutradara filem ini untuk membuat kesimpulan kami sendiri. Memang sehingga hampir kepenghujung filem ini kami masih cuba memahami apa tujuan filem ini kerana pada ketika itu apa yang kami nampak hanyalah beberapa babak-babak filem yang disusun menjadi satu filem yang tidak ada penghujung yang jelas. Jika anda telah hilang tumpuan di pertengahan, memang anda akan hampa kerana tidak dapat membuat kesimpulan mengenai filem ini. Itu pun kami ambil masa sdikit untuk memikirkannya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Bukan sebuah filem sci fi tipikal

Negatif

  • Jalan ceritanya kurang jelas dari awal. Anda perlu menonton sehingga akhir untuk memproses apa sebenarnya filem ini cuba sampaikan.
  • Tidak banyak babak aksi ataupun babak makhluk asing.

Captive State

Kesimpulan

Filem Captive State merupakan sebuah filem sci fi yang sangat berat. Kemungkinan besar 1 daripada 10 orang yang menontonnya akan dapat memahami mesej yang ingin disampaikan. Ramai akan melihat ia sebagai beberapa babak-babak yang disambungkan tanpa sebarang kesudahan muktamad dan walaupun anda berjaya memahami mesej sebenar filem ini, ia tidaklah sehebat berbanding usaha anda menonton dan cuba memahami jalan ceritanya. Tak perlulah menonton filem ini, kecuali anda hendak mencabar diri memahami filem ini.

Penilaian: 5/10

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

The Latest

To Top