Antarabangsa

Bumblebee – Kembali Kepada Kisah Transformers Yang Klasik

Bumblebee merupakan filem yang kami tunggu-tunggu dan secara spesifiknya kami tertarik dengan tema Transformers klasik yang ditampilkan dalam trailernya. Sebagai seorang yang membesar di penghujung 80an dan awal 90an, Transformers sememangnya menjadi sebahagian besar dalam kehidupan kami. Tambahan pula siri filem Transformers arahan Michael Bay semakin mengarut dan sukar untuk ditonton bagi kami. Kami sempat menonton filem ini semalam dan ini pendapat kami mengenai filem ini.

Bumblebee – Kembali Kepada Kisah Transformers Yang Klasik

Bumblebee mengisahkan B-127 (diberi nama Bumblebee di awal filem), seorang askar pemberontak Autobots yang berjuang melawan Decepticons untuk penguasaan planet Cybertron. Pihak Autobots semakin kalah di Cybertron dan terpaksa melarikan diri. B-127 diarahkan untuk ke bumi dan mewujudkan sebuah pangkalan pihak pemberontak Autobots. Beliau juga ditugaskan untuk mempertahankan bumi sekiranya agen Decepticon mencarinya di bumi.

Tetapi dalam pertempuran di bumi beliau “cedera parah” dan terpaksa dimatikan untuk menjamin survivalnya. Pada saat terakhir beliau sempat bertukar menjadi sebuah VW Beetle.  Kemudian pada tahun 1987, Charlie Watson, seorang remaja perempuan telah menjumpainya di pusat barang lusuh yang beliau sering lawati. Pemilik pusat itu menghadiahkannya kereta tersebut untuk hari jadinya, tanpa beliau ketahui VW Beetle itu adalah B-127.

Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kisah seterusnya.

Review

Pertama sekali kami perlu katakan filem ini dibikin dengan mengambil kira filem Transformer asal yang diterbitkan dalam tahun 80an, jadi keseluruhan filem ini dibikin untuk menonjol kepada para penonton yang membesar sekitar 80/90an. Daripada muzik hinggakan konsep wataknya semuanya mengambil ilham filem asal dan persekitaran tahun 80an. Oleh sebab itu juga kami tidak pasti samada mereka yang membesar pada era berlainan akan dapat “menjiwai” filem ini atau tidak. Namun bagi kami yang memang membesar pada tahun 80/90an sememangnya dibawa “down memory lane” bak kata pepatah Inggeris.

Berbeza dengan filem-filem transformers arahan Michael Bay, filem Bumblebee lebih memfokuskan kepada aspek kemanusiaan iaitu hubungan persahabatan erat antara Charlie dengan Bumblebee dan kepayahan dilalui dalam perjalanan robot itu menyesuaikan diri dengan persekitaran di bumi. Terdapat babak sedih, lucu dan gembira, menjadikan penonton lebih asyik menonton filem ini berbanding filem Michael Bay yang lebih fokus kepada aksi dan penempatan produk.

Filem ini tidak tergesa-gesa dalam memperkembangkan jalan ceritanya, membolehkan penonton benar-benar menghayati watak Charlie dan persahabatannya dengan Bumblebee. Ia juga tidak menampilkan lawak jenaka yang tidak munasabah dalam filem ini seperti filem-filem terdahulu. Ia memperkenalkan asal-usul Sector 7 sebagai satu segmen tentera Amerika yang serious, tidak seperti dalam filem transformers sebelum ini yang menggambarkan Sector 7 seperti satu slapstik atau comic relief sahaja.

Babak aksinya juga menarik. Walaupun, jelas sekali Michael Bay campur tangan dalam babak aksinya, namun hanya sedikit sahaja kami fikir. Babak lawannya banyak menggunakan gaya MMA (Mixed Martial Arts) semasa perlawanan tanpa senjata dan menjadikannya lebih seronok ditonton. Ia tiada babak aksi yang keterlaluan sehingga penonton tidak faham apa yang sedang ditononnya. Pendek kata, babak aksinya padat dan tidak melampaui batas.

Akhir sekali, soundtracknya memang menyertakan lagu-lagu popular 80an dan kami jangka ia akan menjadi satu soundtrack yang popular apabila ia memasuki Spotify nanti.

Positif vs Negatif

Positif

  • Lebih mirip kepada Transformers sebenar
  • Soundtrack yang menarik
  • Jalan cerita yang lebih mengambil kira aspek kemanusiaan

Negatif

  •  Tidak banyak menampilkan Autobots yang lain
  • Terlalu berorientasikan budaya 80an, kami tidak pasti samada para pemuda-pemudi zaman sekarang dapat menjiwai filem ini

Bumblebee

Kesimpulan

Filem ini benar-benar sebuah filem yang wajib ditonton, terutamanya bagi peminat kartun Transformers tahun 80/90an. Bukan itu sahaja, filem ini boleh menjadi sebuah filem “detox” kepada filem-filem Transformers Michael Bay yang telah meracuni francais filem Transformers. Ia boleh memberi satu sudut pandang yang baru kepada penonton muda yang tidak mengenali Transformers tahun 80/90an. Selamat menonton, anda tentu akan menyukai filem ini.

P/S – Babak terakhir filem ini memberi pembayang kepada permulaan filem Transformers (2007).

Penilaian: 9/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

The Latest

To Top