Jean-Claude Van Damme merupakan seorang legenda filem 90an dan sebagai seorang yang membesar dalam tahun 90an, admin sememangnya salah seorang peminatnya. Dolph Lundgren pula teman seperjuangan Van Damme dan banyak kali berlakon bersama dalam filem seperti Universal Soldier, The Expandables dan kini dalam filem bertajuk Black Water ini. Filem ini bukanlah sebuah filem dalam radar kami, tapi kerana ada peluang, kami pun menontonnya.
Black Water – Realiti Filem Van Damme Masa Kini
Black Water mengisahkan seorang agen rahsia CIA bernama Wheeler (Van Damme) yang ditugaskan mendapatkan pemacu data yang mengandungi maklumat rahsia. Terdapat dua bahagian pemacu, iaitu bahagian data dan bahagian dekripsi. Wheeler memegang bahagian dekripsi manakala rakan sepasukannya, Melissa Ballard memegang bahagian data. Data tersebut tidak boleh dibaca tanpa bahagian dekripsi.
Sebelum mereka sempat menghantar data tersebut kepada pihak CIA, mereka telah diserang dan Ballard ditembak serta bahagian data diambil pihak penyerang. Wheeler cupa melarikan diri tetapi akhirnya ditangkap. Beliau kemudian terjaga di satu “black site” CIA dalam sebuah kapal selam dan berada di situ untuk disoal siasat kerana dituduh pengkhianat. Dapatkah beliau melepaskan diri dan menyiasat siapa di sebalik serangan terhadap beliau? Tontonlah filem ini untuk kesudahannya.
Review
Realiti pelakon filem aksi yang telah lanjut usia adalah kurangnya menerima tawaran lakonan filem aksi bertaraf box office. Van Damme yang kini berusia 58 tahun kini tidak lagi selincah dahulu dan ini jelas sekali kelihatan dalam filem Black Water ini. Filem ini ternyata sekali sebuah filem aksi bajet dan untuk pengetahuan anda, telahpun keluar dalam bentuk Blu-ray di pasaran luar negara, tetapi masuk ke Malaysia sebagai sebuah filem wayang.
Secara keseluruhannya, filem ini merupakan sebuah filem aksi Holywood yang biasa-biasa sahaja, menggunakan template standard filem aksi pengintipan yang telah banyak digunapakai. Jadi oleh sebab yang demikian, jalan ceritanya sangat mudah dijangka, walaupun terdapat sedikit putaran plot di penghujungnya.
Babak aksi tembak-menembaknya boleh tahan, namun, jelas sekali Van Damme telah lanjut usianya dan tidak selincah ketika muda. Ini lebih jelas dilihat dalam babak lawang tanpa senjatanya yang perlahan dan kurang bertenaga.
Namun, apa yang sukar diterima adalah prop dan lokasi yang sangat bajet. Lokasi penggambaran sebagai contoh, filem ini sepatutnya berlangsung di dalam kapal selam, namun set penggambarannya jelas sekali bukan sebuah kapal selam kerana terlalu luas. Anjung atau pusat kawalan kapal selam juga satu jenaka. Dengan meletakkan beberapa skrin komputer dalam sebuah bilik, mereka cuba menggambarkan sebuah pusat kawalan kapal selam. Memang tak lah…
Lakonan pelakon-pelakon juga bukanlah yang terbaik. Maklumlah, banyak pelakon baru digunapakai, termasuk anak Van Damme sendiri, Kris Van Damme.
Walaubagaipun, jika anda telahpun mengetahui standard filem ini dan tidak meletakkan harapan yang tinggi serta hanya menonton filem ini dalam mood “chill“, tidak mustahil untuk anda menikmati filem ini tanpa sebarang rungutan melampau.
Positif vs Negatif
Positif
- Tidaklah terlalu teruk
- Krew produksi tidaklah terlalu jimat dalam perkara props seperti senjata dan babak tembak menembak.
Negatif
- Jalan cerita yang mudah dijangka
- Hampir keseluruhan filem dirakam di dalam “kapal selam”
- Siapa yang pernah bekerja dalam kapal selam tentu akan tergelak menonton filem ini
- Lebih sesuai menjadi drama TV daripada ditayangkan di pawagam
Kesimpulan
Filem Black Water hanyalah satu lagi filem yang dibikin untuk mengisi masa lapang pembikin filem Holywood atau menjadi satu latihan bagi pelakon baru. Jika anda mahu juga menontonnya, janganlah meletakkan sebarang harapan padanya. Hanya layan sahaja ceritanya. Dengan ini anda tidak akan kecewa dan mula membaling pop corn ke skrin. Seperti kami katakan tadi, ia lebih sesuai menjadi drama TV berbanding masuk ke panggung wayang.