47 Ronin [Review]

Filem 47 Ronin adalah sebuah filem yang dibikin berdasarkan lagenda Jepun yang menyebut mengenai 47 orang Samurai yang telah kehilangan ketua mereka di tangan Shogun hasil muslihat dan helah ketua dari puak pesaing mereka. Samurai tidak bertuan dipanggil Ronin dan 47 orang Ronin ini ingin menuntut bela ke atas kematian tuan mereka.

47 Ronin

47 Ronin [Review]

Dalam filem 47 Ronin, Keanu Reaves memainkan watak Kai, seorang darah kacukan yang dilatih semasa kecil oleh roh jahat (dipanggil jembalang dalam filem ini). Beliau melarikan diri dan terserempak dengan seorang ketua puak bernama Lord Asano dan orang kanannya, Oishi. Dia kemudian dibesarkan oleh Asano dan jatuh cinta dengan anaknya, Mika.

Apabila zaman dewasa, puak Asano diberi kepercayaan untuk menjadi hos kepada Shogun dalam satu majlis yang turut dihadiri puak pesaing mereka yang diketuai Lord Kira yang mempunyai seorang ahli sihir di bawah perintahnya, Mizuki.

47 Ronin

Untuk dipendekkan ceritanya, Mizuki telah membuat helah yang menyebabkan Lord Asano hampir-hampir membunuh Lord Kira. Ini menyebabkan Lord Asano diperintah untuk menjalankan upacara Harakiri (ritual membunuh diri bagi mengekalkan kehormatan). Anaknya, Mika diberi masa 1 tahun untuk berkabung sebelum dikahwinkan dengan Lord Kira, seterusnya menggabungkan kedua puak itu.

Walaupun pada mulanya tidak menentang, Oishi, orang kanan Asano merancang untuk membalas dendam bagi pihak tuannya dengan bantuan Kai. Adakah dia dan 47 orang samurai di bawah arahannya akan berjaya? Tontonilah filem ini.

Jalan Cerita

Daripada apa yang saya diberitahu, kisah 47 Ronin ini adalah kisah benar yang terjadi di zaman feudal Jepun, namun ia tidaklah terjadi seperti dalam filem ini. Filem ini diadaptasikan oleh Holywood dan ditambah dengan pelbagai unsur dramatik untuk menaikkan nilai hiburannya. Watak Kai juga dikatakan tidak wujud dalam sejarah Jepun itu.

47 Ronin

Walaubagaimanapun, dari segi jalan ceritanya, boleh dikatakan penuh dengan unsur-unsur sebuah filem Jepun. Walaupun keseluruhan dialognya dalam bahasa Inggeris, jalan cerita dan skripnya telah jelas sekali ditulis dengan mendapat bimbingan penulis Jepun. Jika anda pernah menonton filem Jepun seperti samurai 7 dan filem-filem samurai yang lain, anda tentu akan perasannya.

Oleh sebab itu, mood filem ini agak serious dari awal hingga akhir dengan sangat sedikit usaha dilakukan untuk menjadikan filem ini lucu. Jalan ceritanya mudah dan tidak banyak diputar belit. Ini memudahkan pemahaman jalan ceritanya.

Lakonan

Sesuai dengan mood serious film ini, Keanu Reaves juga membawa watak yang serious, tidak senyum mahupun gelak. Seolah-olah watak Neo dalam The Matrix telah dibawa ke zaman feudal Jepun.

Namun, tidak dapat dinafikan babak lawan pendang disusun dengan baik dan menghiburkan, walaupun ada kalanya terlalu pendek untuk digelar “perlawanan”.

Lakonan ahli sihir Mizuki lakonan Rinko Kakuchi (Pacific Rim) yang menggoda, sedikit “over” dan mungkin menyebabkan sesetengah anda menyampah dengan watak ini. Barangkali inilah gaya lakonan Rinko Kakuchi kerana beliau juga agak intense semasa berlakon dalam filem Pacific Rim. Tambahan pula, watak beliau adalah watak jahat, jadi sememangnya penonton dijangka menyampah dengan watak jahat ini.

47-Ronin-Official-Trailer-1-47-ronin-35169780-1920-1080

Produksi

Agak banyak CGI digunakan dalam filem ini, termasuk banyak babak yang menampilkan istana shogun dan Lord Kira. Tetapi, kebanyakan props dan lokasi penggambaran kelihatan konsisten dengan budaya dan senibina Jepun. Pedang-pedang samurainya juga bukan sahaja kelihatan realistik, malah bergaya.

Kesimpulan

Sukar untuk 100% mengatakan filem 47 Ronin adalah filem Holywood, malah boleh dikatakan sebuah filem Jepun yang dialih bahasa kepada bahasa Inggeris kerana sebahagian besar jalan ceritanya konsisten dengan filem Jepun, cuma dialognya diubah kepada bahasa Inggeris.

Oleh sebab itu saya berpendapat sesiapa yang tidak gemarkan filem Jepun mungkin tidak menyukai filem ini walaupun mendapat suntikan koreografi aksi serta CGI Holywood. Meraka yang gemarkan filem Jepun, terutamanya filem bersejarah, tentu suka dengan filem ini.

IMDB

, , ,

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *