Those Who Wish Me Dead – Filem Aksi Ringkas Untuk Hiburan Hujung Minggu [Review]

Umum mengetahui sejak minggu lepas panggung wayang telah mula dibenarkan beroperasi, walaupun hanya untuk penonton dewasa yang sudah divaksinasi penuh. Walaubagaimanapun filem yang ditayangkan merupakan filem lama yang ditayang sejurus sebelum PKP 3.0 diumumkan. Salah satu filem yang admin ingin tonton tetapi tidak berkesempatan adalah Those Who Wish Me Dead. Berikut pendapat admin mengenainya.

Those Who Wish Me Dead

Those Who Wish Me Dead – Filem Aksi Ringkas Untuk Hiburan Hujung Minggu [Review]

Those Who Wish Me Dead mengisahkan Hannah, seorang ahli bomba yang trauma kerana kegagalan menyelamatkan beberapa kanak-kanak dalam kebakaran hutan setahun lalu. Oleh sebab itu beliau ditukarkan dan kini ditugaskan untuk berada di menara tinjau kebakaran di tengah hutan bagi memantau kemungkin kebakaran hutan berlaku.

Sementara itu, Owen, seorang akaunten forensik telah menemui beberapa rekod kewangan yang membuktikan berlaku penyelewengan di kalangan ahli politik. Untuk menghentikan Owen dari melaporkannya kepada pihak berkuasa, pihak yang bersalah telah mengupah Patrick dan Jack untuk memburu dan membunuhnya.

Owen membawa anaknya Connor ke sebuah kem musim panas dikendalikan adik iparnya di pekan yang dihuni Hannah. Namun, belum sempat mereka tiba, Jack dan Patrick telah menyerang hendap kereta mereka, membunuh Owen. Connor yang melarikan diri terserempak dengan Hannah.

Dapatkah Hannah mempertahankan Connor dari mereka yang inginkannya mati? Tontonlah filem ini di pawagam.

Those Who Wish Me Dead

Review

Admin menonton filem ini di GSC Sabtu lepas di mana admin seorang sahaja dalam panggung wayang itu. Memang rasa seperti raja dan memandangkan admin berseorangan, SOP tidaklah ketat sangat. Berbalik kepda review. Sebenarnya jika anda lihat senarai pelakon filem ini, semuanya terdiri dari bintang-bintang besar seperti Angelina Jolie, Nicholas Hoult, Jon Bernthal, Aiden Gillan dan banyak lagi. Jadi, lakonan bukan satu isu dalam filem ini.

Cuma, secara keseluruhannya, jalan cerita filem ini boleh dikatakan “play safe” di mana ia tidak mengambil risiko dan menampilkan jalan cerita yang bukan baharu, malah telah banyak kali digunapakai di Hollywood. Seorang saksi kepada korupsi diburu oleh mereka yang korup. Cuma mungkin latarbelakang bomba watak utamanya serta rakan-rakan membezakannya sedikit dengan filem yang lain.

Those Who Wish Me Dead

Ini tidak bermakna ia sebuah filem yang teruk. Tetapi ia bukan sebuah filem yang berbaloi ditonton di wayang. Mujurlah tiket wayang diberi diskaun menjadi RM8. Ia lebih sesuai untuk ditayangkan di saluran penstriman seperti HBO Go atau Netflix.

Walaupun dari segi lokasi dan props, filem ini nampak seperti berjimat dalam bajetnya, babak-babak kebakaran hutannya dibuat dengan baik. Admin tidak percaya jika mereka membakar hutan yang sebenar, tetapi admin berasa mereka menggunakan studio dan CGI dalam babak-babak berkenaan. Itu harus diberi pujian kerana ia kelihatan realistik.

Apa pun, filem ini biasa-biasa sahaja dan hanyalah setakat sebuah filem aksi untuk mengisi ruang kosong jadual wayang yang semakin kurang penontonnya akibat COV1D. Tontonlah jika anda ada masa lapang dan rindu panggung wayang.

Those Who Wish Me Dead

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang mudah difahami
  • Babak aksi yang boleh tahan
  • Barisan pelakon handalan

Negatif

  • Jalan cerita yang biasa-biasa dan mudah dijangka
  • bajet filem rendah agak ketara.
  • Lebih sesuai distrim dari ditayangkan di pawagam

Those Who Wish Me Dead

Penilaian

Jalan cerita – 6/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 7/10

Nilai hiburan – 6/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.