Squid Game merupakan siri Netflix yang admin tunggu-tunggu sejak menonton trailernya beberapa minggu lalu. Siri 9 episod ini sememangnya satu kelainan memandangkan genre “deadly game” ini biasanya dipelopori filem Jepun. Ini merupakan siri Korea genre ini yang pertama pernah admin tonton.
Squid Game – Genre Deadly Game Mengadakan Comeback? [Review]
Squid Game mengisahkan Seong Gi-Hun, seorang pengangur yang hidup dengan ibunya. Beliau seorang yang suka berjudi dan banyak berhutang dengan ah long di kawasannya.
Satu hari seorang lelaki berpakaian kemas menyapanya di stesen keretapi. Beliau menawarkan sejumlah wang untuk beliau jika beliau mengalahkannya dalam satu permainan tradisional. Gi-hun kalah berberapa kali namun akhirnya menang dan mendapat sejumlah wang yang dijanjikan.
Sebelum berpisah, lelaki tersebut menyerahkan kad perniagaannya dan menjemput Gi-Hun untuk menyertai satu rancangan permainan yang menjanjikan hadiah wang tunai yang lumayan. Setelah seharian mempertimbangkan tawaran tersebut, Gi-Hun pun menerimanya dan pergi menyertai permainan tersebut. Namun permainan ini tidak seperti dijangkakan sesiapa.
Permainan apa ini? Tonton siri Netflix ini untuk mengetahuinya.
Review
Jika anda pernah menonton review-review admin sebelum ini, admin ada menyatakan admin telah banyak menonton filem/siri Jepun genre deadly game seperti Battle Royal dan terbaharu Alice in Boarderland yang ditayangkan di Netflix tidak lama dahulu. Secara umum admin merasakan genre ini sudah tepu dan terlalu banyak filem/siri dalam genre ini yang tidak banyak beza antara satu dengan lain.
Namun, siri Squid Game merupakan siri Korea pertama dalam genre ini yang pernah admin tonton. Ternyata tontonan admin tidak sia-sia. Siri ini memberi nafas baharu ke dalam genre yang sudah tepu dan tidak menarik.
Perkara pertama yang membezakan siri ini dengan siri-siri atau filem Jepun adalah bagaimana pembikin siri Squid Game menjadikan kisahnya releven kepada penonton biasa. Jika dalam filem atau siri Jepun, jalan ceritanya terlalu berasaskan fantasi menjadikannya sukar untuk releven kepada penonton.
Contohnya, ia memaparkan bagaimana peserta menyertai permainan tersebut dengan rela hati dan diberi pilihan untuk keluar jika majoriti peserta mahu menghentikan permainan. Namun desakan hutang keliling pinggang menjadi motivasi untuk mereka tetap menyertainya.
Ia juga menampilkan reaksi-reaksi realistik pemain kepada keaadaan permainan yang mendesak pemainnya melakukan perkara yang tidak berperikemanusiaan. Seperti filem-filem lain watak-watak utama filem ini juga akan menghadapi konflik yang sama.
Admin kagum juga dengan cara penceritaan siri ini yang hampir sempurna. Perkembangan jalan cerita dibuat pada kadar yang terbaik bagi membolehkan penonton memahami jalan cerita serta pembinaan watak dapat berlaku dengan lancar dan berkesan. Memandangkan ia sebuah rancangan bersiri, ia tidak tergesa-gesa dalam perkembangan jalan ceritanya dan mengambil masa secukupnya untuk pembinaan watak.
Permainan yang ditampilkan pula adalah terdiri dari permainan tradisional Korea dan juga permainan yang kita sudah sedia kenal, jadi ia tidak sukar untuk difahami. Permainannya juga sangat mendebarkan membuatkan anda kekal di hujung tempat duduk anda.
Menjelang penghujung siri ini penonton akan diperkenalkan kepada rahsia sebenar siri permainan maut ini. Admin berasa mesej yang dibawa jalan ceritanya memang releven untuk manusia yang hidup di zaman materialistik ini. Mesejnya biasa kita dengar, namun lebih deep dari biasa.
Secara keseluruhan siri Netflix Squid Game ini memang dibuat dengan begitu baik sekali dan antara filem/siri terbaik dalam genre ini. Kelebihannya yang membezakannya dengan filem/siri Jepun dalam genre ini adalah ia lebih releven dan mudah difahami oleh orang biasa.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita yang releven dengan kehidupan semasa dan realiti kehidupan
- Watak-watak yang berkarisma dan menarik
- Perkembangan jalan cerita yang dibuat pada kadar yang hampir sempurna
Negatif
- Kesudahannya menunding kepada sequel, tetapi admin rasa demi membuat sequel menyebabkan kesudahannya kurang menarik.
- Ada beberapa watak ditamatkan dengan cara yang kurang menarik.
Penilaian
Jalan cerita – 9/10
Lakonan/Rekaan watak-watak –9/10
Nilai hiburan – 9/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set/sinematografi – 9/10