Review: The Contractor
Genre: Aksi
Sesuai untuk: Peminat filem aksi dan teori konspirasi.
Sinopsis The Contractor
The Contractor mengisahkan seorang anggota tentera Amerika, James Harper telah ditamatkan perkhidmatan akibat penggunaan bahan terlarang, sementara pencen dan manfaat ketenteraannya ditarik balik. Dihimpit bil-bil tertunggak yang semakin menggunung, James bersetuju bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor ketenteraan diketuai Rusty setelah direkomen oleh bekas rakan sepasukannya, Mike. Beliau turut bekerja dengan Rusty.
Misi pertama mereka tidak berjalan seperti dirancang. Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam.
Review
Filem aksi teori konspirasi ini bukan asing lagi di kalangan pembikin filem Holywood, tetapi filem The Contractor ini diarahkan oleh seorang muslim bernama Tarik Salleh. Namun admin tidak pasti sejauh mana kemuslimannya memandangkan beliau berasal dari Sweden, tetapi anda boleh nampak juga pengaruhnya dalam filem ini.
Sebagai contoh, di permulaan filem, watak James dilihat mendengar bacaan Al-Quran selepas selesai larian awal paginya. Tema filem ini juga ada berkaitan dengan stereotaip dunia barat terhadap orang Islam.
Filem ini menampilkan tema teori konspirasi di mana konspirasinya tidaklah begitu kompleks dan mudah difahami jika anda biasa menonton filem aksi seperti The Bourne Identity. Walaubagaimanapun, babak aksinya tidaklah sehebat filem tersebut, walaupun boleh dikatakan hampir setanding. Tema konspirasinya juga ada berkaitan dengan dunia hari ini yang dicengkam Covid-19 dan terbelah antara golongan pro dan anti vax. Cuma mungkin jalan ceritanya sedikit pendek dan mungkin membuatkan penoton kurang puas, sementara kesudahannya mengingatkan penoton kepada filem Extraction di Netflix di mana penonton perlu membuat kesimpulan sendiri samada ia kesudahan yang baik atau tergantung.
Pendek kata, filem The Contractor sebuah filem aksi teori konspirasi yang tidak begitu kompleks dan mudah dihadam serta menghidangkan babak aksi tembak-menembak dan berlawan yang mendebarkan. Malangnya ia terasa pendek walaupun durasinya 1 jam 43 minit, menyebabkan penonton kurang puas. Tetapi jalan ceritanya cukup bagus untuk membuatkan anda berfikir sejenak mengenai apa yang berlaku dalam dunia masa kini.