Admin pernah menonton trailer filem SAS Rise of the Black Swan satu ketika dahulu, namun ia tidaklah membangkitkan sifat ingin tahu admin untuk menontonnya. Kini ia telah mula ditayangkan di Netflix, malah menjadi filem top 10 di Asia pada minggu lepas, admin pun menontonnya bagi tujuan review. Berikut adalah pendapat admin mengenainya.
SAS Rise of the Black Swan – Filem Aksi Sangat Tipikal [Review]
SAS Rise of the Black Swan mengisahkan kerajaan UK dan syarikat British Gas yang mengupah kumpulan askar upahan digelar Black Swan untuk menghalau orang kampung di sebuah perkampungan di Georgia bagi memberi laluan syarikat gas tersebut untuk membina paip gas melalu tanah kampung mereka.
Selepas berlaku pertempuran antara orang kampung dengan askar upahan, tanpa disedari perbuatan askar upahan tersebut membunuh orang kampung telah dirakam oleh seorang wanita di kampung itu lalu bocor ke web.
Ini menyebabkan Black Swan yang asalnya syarikat kontraktor yang bekerja untuk kerajaan British, menjadi kumpulan yang dikehendaki kerana jenayah mereka.
Pasukan tentera elit SAS telah diarahkan untuk menyerbu rumah pemilik syarikat Black Swan dan menahan semua ahli kumpulan itu untuk perbicaraan. Dalam operasi serbuan itu, anak-anak pemilik Black Swan dan beberapa konco mereka telah berjaya melarikan diri.
Mereka merancang satu serangan. Dapatkah SAS menghalang rancangan mereka? Tontonlah filem ini di pawagam.
Review
Lebih banyak anda menonton filem aksi, biasanya lebih cerewet anda jadi dalam menilai sebuah filem aksi itu jika dulu filem Gerak Khas sudah cukup untuk menghiburkan anda, kini filem The Expandables pun tidak mampu memuaskan hati anda.
Begitulah perumpamaan yang boleh diberikan kepada filem SAS The Rise of the Black Swan. Bukan filem ini teruk sangat, tetapi terlalu tipikal sehinggakan boleh dimuatkan dalam template filem aksi barat.
Walaupun plot filem ini pada awalnya memberikan harapan yang baik kepada penonton dengan mengetengahkan plot yang mirip filem teori konspirasi, isi utama filem ini menumpukan kepada polt pengganas yang mengambil tebusan di mana hero utama kebetulan berada di tempat kejadian. Ini menjadikan jalan ceritanya, walaupun kemas, sangat mudah untuk dijangkakan terutamanya bagi mereka yang lebih berpengalaman dalam menonton filem aksi.
Secara ringkas, SAS The Rise of the Black Swan adalah sebuah filem yang baik, tetapi dibikin berdasarkan satu template filem aksi yang sangat generik, ia sangat mudah dijangka oleh penonton, terutamanya yang lebih berpengalaman.
Namun jika difikirkan semula, Netflix merupakan perkhidmatan penstriman untuk tontonan filem di rumah dan biasanya kualiti filem sebegini tidaklah sama dengan filem yang memasuki panggung wayang. Penonton yang menonton perkhidmatan penstriman ini mempunyai jangkaan yang berbeza dari penonton yang pergi ke panggung wayang yang lebih cerewet memilih apa yang ditonton mereka. Cuma dalam era Covid-19 ini, citarasa penonton wayang dan saluran penstriman sudah tidak banyak berbeza.
Positif vs Negatif
Positif
- Tidak banyak masalah dari segi teknikal perfileman.
- Jalan cerita yang mudah difahami
- Putran plot yang menarik
- Babak aksi yang mendebarkan
Negatif
- Jalan cerita, plot dan juga dialog yang sangat boleh dijangka
- Lakonan sesetengah watak tidak meyakinkan
Penilaian
Jalan cerita – 7/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 7/10
Nilai hiburan – 6/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set/sinematografi – 7/10