Dune merupakan satu filem yang ditunggu-tunggu admin. Sungguhpun demikian, admin tidak membaca atau menonton sebarang berita atau review dari pihak ketiga sebelum menonton filem ini. Admin mahu menonton tanpa spoiler.
Dune – Satu Filem Epik Yang Sangat Perlahan [Review]
Dune merupakan sebuah filem adaptasi dari novel karangan Frank Herbert pada tahun 1965. Ia mengisahkan satu galaksi yang mempunyai satu planet yang bernama Arrakis yang juga digelar “Dune” kerana dilitupi padang pasir. Padang pasir di planet ini kaya dengan spice (rempah), satu sumber alam yang sangat berharga bagi tujuan pengembaraan angkasa di galaksi tersebut.
Galaksi ini ditadbir seorang maharaja dan di bawah empayar maharaja ini terdapat beberapa kaum atau kabilah yang mentadbir kawasan mereka yang diberikan mandat dari maharaja.
Pada permulaan filem ini, kaum Harkonnen telah mentadbir Arrakis selama 70 tahun dengan kuku besi. Hasil penguasaan mereka, mereka berjaya mengumpul kekayaan yang banyak dari pengumpulan rempah. Tetapi satu hari maharaja mengarahkan kaum Harkonnen untuk mengosongkan planet tersebut dan mengarahkan kaum Atreidis untuk menggantikan mereka untuk mentadbir Arrakis.
Ini memberi peluang Paul Atreidis, anak kepada pemimpin Atreidis, Leto Atreidis untuk mempelajari selok belok kepimpinan. Namun, ada suatu yang tidak kena.
Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Admin tahu bahawa Dune merupakan adaptasi novel dan terdapat satu lagi filem dune yang dibikin pada tahun 1984. Tetapi admin lebih kenal Dune dari permainan strategi Dune 2000 yang admin main dalam tahun 90an dulu. Ia menggunakan injin permainan yang sama dengan Command and Conquer. Dari situ admin tahu mengenai pengumpulan rempah dan ulat gergasi yang terdapat di dalam filem Dune.
Filem ini mendapat sentuhan Denis Villeneuve iaitu pengarah sama yang mengarahkan Blade Runner 2049 dan dengan menonton filem ini, memang tidak syak lagi beliau mengarahkannya. Filem ini perlahan dan Denis memang terkenal dengan memfokuskan usaha yang lebih kepada rekaan persekitaran dunia dan penghayatan karakter.
Ini jelas sekali dilihat dalam filem ini kerana admin memang sukakan persekitaran yang direka terutamanya kapal angkasa dan kenderaan seperti helikopter. Memang gempak rekaannya. Sinematografinya yang hebat juga berjaya menampilkan persekitaran dunia Dune dengan baik sekali.
Tetapi, ya ampun! Filem ini sangat perlahan. Filem berdurasi 2 jam setengah ini hanya menampilkan separuh isi kandungan sebuah filem 2 jam tipikal. Tambahan pula filem ini hanyalah menceritakan separuh kisah dalam novel Frank Hurbert itu. Belum ada berita mengenai filem sekuel.
Babak berlawannya agak baik dan koreografi berlawannya juga baik, tetapi tidaklah sebaik filem seperti Black Widow atau mana-mana filem Marvel. Lagipun filem ini bukanlah filem yang memfokuskan kepada aksi atau berlawan.
Secara keseluruhan, banyak persamaan filem ini dengan filem Blade Runner 2049 dari segi tempo filem. Cuma jalan cerita Dune lebih mudah difaham bagi penonton secara umum manakala Blade Runner lebih hebat dari segi rekabentuk persekitaran dunianya. Tapi apa yang pastinya, kedua-dua filem ini perlahan dan memfokuskan kepada penghayatan persekitaran dan karakter.
Admin jangka filem ini lebih menonjol kepada golongan penonton yang cenderung kepada kesenian berbanding penonton yang hanya mahu berhibur. Tontonlah mengikut kecenderungan anda.
Positif vs Negatif
Positif
- Rekaan astetik dunia dan jentera yang menakjubkan
- Lakonan karakter yang mantap
- CGI yang bermutu tinggi
Negatif
- Filem yang sangat perlahan
- Filem ini hanya bahagian pertama, ada perasaan tidak puas.
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set –9/10