Beberapa hari lalu, admin dihubungi seseorang yang meminta admin review satu dokumentari bertajuk Startup The Real Story. Admin baru sahaja habis menonton dokumentari tersebut dan admin akan menceritakan serba sedikit mengenai dokumentari tersebut.
Startup The Real Story – Pendedahan Berani Tentang Kegagalan Sektor Startup Malaysia [Review]
Startup The Real Story membincangkan perihal di sebalik kegagalan sektor startup yang diterokai melalui Multimedia Super Corridor (MSC) khasnya dan Wawasan 2020 amnya dari sudut pandang pemain-pemain industri yang terlibat dalam arena “startup” sepanjang dekad yang lalu.
Dokumentari ini menemuramah Tun Dr Mahathir sebagai pemacu wawasan 2020, Dr Mazlee Malik sebagai bekas menteri pendidikan, beberapa pemain industri dan paling prominen, pengasas syarikat E-Sentral.com yang merupakan salah sebuah dari hanya segelintir syarikat startup yang berjaya menempuhi segala naik turun industri sehingga kini.
Ia mendedahkan segala apa yang berlaku mengikut pengalaman pemain-pemain industri ini yang membawa kepada kegagalan MSC sehingga kini. Pendapat yang diberi secara jujur tanpa berlapik.
Untuk mengetahui lanjut, tonton dokumentari tersebut secara percuma di Youtube: https://www.youtube.com/watch?v=F0MVBnOdfXM
Review
Pertama sekali, penonton harus ketahui bahawa dokumentari ini diterbitkan oleh Andy Ridgway, seorang pengarah yang kurang dikenali, tetapi hampir pasti beliau bukan warganegara Malaysia. Namun penulisnya, Zafirah Hanoum pada pendapat admin adalah warganegara Malaysia. Tambahan pula antara dua personaliti yang ditemuramah adalah Tun Dr Mahathir dan Dr Mazlee Malik yang datang dari blok pembangkang Malaysia.
Tujuan admin ketengahkan poin ini adalah kerana tidak mustahil pembikin dokumentari ini mempunyai agenda tertentu.
Namun, untuk pengetahuan anda, admin merupakan graduan Masters in Science, Technology and Innovation Policy dan mereupakan orang yang tepat untuk review dokumentari ini. Tambahan pula admin telah mengalami sendiri gelombang startup yang bermula sekitar 2009 hingga kini. Malah Menteri MOSTI baru-baru ini mengumumkan satu sasaran tinggi dalam pengwujudan syarikat startup dalam pelan kementerian beliau. Admin terhibur mendengarnya.
Bagi admin, setelah mendengar pendapat-pendapat orang yang ditemuramah, ia bertepatan dengan apa yang admin lalui dan apa yang telah dibincangkan dalam kelas-kelas admin semasa admin belajar dulu. Case Study MSC memang satu contoh kegagalan dalam penggubalan polisi yang sehingga kini belum dapat diatasi dan punca-puncanya diterangkan dalam dokumentari ini terus dari mulut mereka yang terlibat secara langsung dalam industri ini.
Secara umumnya, dengan mengabaikan kemungkinan terdapat agenda tersembunyi, apa yang diperkatakan oleh mereka yang ditemuramah mempunyai kredibiliti yang tinggi. Malah rakan admin yang terlibat dalam dunia startup juga mengalami perkara sama terutamanya kesukaran mendapat pembiayaan Venture Capitalist (VC) tempatan. Apa yang pelik VC luar negara berebut-rebut untuk membiayai syarikatnya. Ini seterusnya merugikan Malaysia.
Malang sekali, agensi kerajaan yang terlibat tidak memberi respon apabila dihubungi untuk ditemuramah, jadi kita tidak dapat ketahui pendapat dari pihak kerajaan pula.
Apa pun, jika anda seorang yang berminat membincangkan isu negara, dokumentari ini akan menarik minat anda. Jika tidak, anda mungkin akan kurang berminat dengannya.
Positif vs Negatif
Positif
- Orang yang ditemuramah adalah orang yang tepat.
- Tiada tapisan dari segi pendapat yang dikeluarkan orang yang ditemuramah.
- Poin-poin yang diketengahkan adalah kredibel.
Negatif
- Tiada komen dari pihak agensi kerajaan.
Saya pun sudah tengok, menarik dokumentari ini, lain daripada keluaran RTM.
Kan? Org yg ditemuramah lebih direct dan tak berselindung