The Guilty asalnya merupakan sebuah filem Denmark yang telah dibikin semula dalam bahasa Inggeris untuk ditayangkan di Netflix. Admin tidak pernah menonton filem asal dan semasa admin menonton filem ini di Netflix, admin langsung tidak menonton sebarang trailer, jadi memang admin menonton tanpa spoiler. Berikut adalah pendapat admin mengenai filem ini.
The Guilty – Thriller Ringkas Tapi Mendebarkan [Review]
The Guilty mengisahkan seorang anggota polis bernama Joe Baylor yang diturunkan pangkat menjadi operator panggilan kecemasan kerana satu kesalahan yang beliau lakukan dan sedang dalam perbicaraan. Satu hari ketika beliau lebih kurang 30 minit untuk menghabiskan syifnya, beliau menerima panggilan daripada seorang wanita yang dipercayai sedang diculik. Berdasarkan butiran yang tidak seberapa yang diberikan wanita tersebut dan menggunakan telefon sebagai alat, Joe cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan wanita tersebut.
Dapatkah beliau menyelamatkan wanita tersebut? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Jika anda pernah menonton filem Phone Booth (2002) lakonan Colin Farrell, filem The Guilty mempunyai tema yang sama. Kedua-dua filem berlangsung di satu tempat sahaja. Tetapi filem The Guilty ini lebih ekstrim di mana ia berlangsung hanya dalam pusat panggilan kecemasan itu sahaja. Hanya satu babak sahaja di luar pusat tersebut (tidak mengambil kira syot pengenalan dan penutup), itu pun selama beberapa saat sahaja. Bagi anda yang pernah menonton filem sebegini, plot, skrip dan lakonan memainkan peranan sangat penting dalam membangkitkan debaran di kalangan penonton.
Dari segi lakonan, memang Jake Gyllenhaal merupakan pelakon yang tepat untuk watak ini. Beliau selalu melakonkan watak yang agak “twisted” seperti dalam filem Nightcrawler, Enemy dan Life. Lakonan beliau sebagai seorang yang dalam tekanan kerana akan menghadapi perbicaraan keesokan harinya sememangnya berkesan. Watak-watak yang beliau bercakap di telefon juga memainkan watak mereka dengan meyakinkan, lebih-lebih lagi kerana emosi diserlahkan hanya menggunakan suara sahaja.
Filem ini benar-benar membangkitkan debaran di kalangan penonton memandangkan segalai babak-babak yang mendebarkan itu hanya kedengaran dalam telefon. Ternyata pengarah mahu penonton merasakan perasaan stress yang dialami Joe kerana tidak dapat membantu secara langsung di tempat kejadian dan hanya boleh bercakap melalui telefon.
Namun pada pendapat admin, jalan ceritanya tidak mencapai potensi penuh, walaupun ia sudah cukup mendebarkan. Ia masih mempunyai ruang untuk ditambahbaik. Jika ia menambah satu atau dua lagi babak konflik, ia mungkin boleh menjadi lebih memuaskan penonton terutamanya admin. Filem ini tamat terlalu cepat pada pendapat admin.
Walaubagaimanapun, admin juga sedar, filem ini bukan untuk semua orang. Ia memerlukan konsentrasi penuh bagi memastikan anda benar-benar dapat mengalami debaran yang dibawa oleh jalan ceritanya. Jika anda hilang konsentrasi, maka hilanglah keseronokan menontonnya. Ini kerana kebanyakan babak-babaknya diekspresikan dalam dialog dan perkataan yang kedengaran melalui telefon. Tontonlah filem ini jika anda seorang peminat filem yang mempunyai fokus yang tidak berbelah bagi.
Admin rasa pembikin filem Malaysia patut membikin filem sebegini di mana keseluruhan filem dijalankan dalam satu lokasi sahaja dan segala kehebatan filem itu ditampilkan dalam skrip dan jalan cerita. Dengan ini pembikin filem dapat menjimatkan kos dan memaksimakan keuntungan dengan syarat skrip dan jalan cerita adalah pada kualiti tinggi.
Positif vs Negatif
Positif
- Lakonan mantap dari semua pelakon utama.
- Jalan cerita yang mendebarkan
Negatif
- Bukan untuk semua orang
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 9/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set –6/10