Di penghujung musim kedua siri zombie Korea “Kingdom”, ia memperkenalkan satu watak wanita misteri sebelum bahagian kreditnya. Siapakah wanita tersebut? Kini misteri telah terungkai dengan filem khas Netflix Kingdom Ashin of the North yang mula ditayangkan beberapa hari lepas. Berikut ulasan admin mengenai filem ini.
Kingdom Ashin of the North – Prekuel kepada siri Aksi Seram Korea Kingdom [Review]
Kingdom Ashin of the North mengisahkan kisah sebelum kejadian-kejadian yang berlaku dalam siri Korea Kingdom. Ashin merupakan satu seorang budak perempuan Jurchen, satu suku kaum minoriti dibawah pemerintahan dinasti Joseon di Korea. Kaum Jurchen ini mempunyai penempatan di sempadan utara Joseon dan di sebalik sempadan itu, terdapat kaum Pajeowi yang mempunyai kuasa tentera yang dahsyat di mana kerajaan Joseon ingin mengelakkan apa-apa konflik kerana bimbang akan kalah. Puak Jurchen setia kepada Joseon dan ditugaskan untuk memantau pergerakan Pajeowi di sempadan dua wilayah mereka itu.
Di antara sempadan utara dengan wilayah milik Pajeowi, terdapat satu kawasan hutan dinamakan Pyesa-Gun di mana semua orang dilarang masuk. Namun kerana terpaksa mencari ginsing liar untuk ibunya yang sakit, Ashin curi-curi masuk kawasan tersebut. Beliau menjumpai satu bunga misteri dan catatan yang mengatakan bunga itu boleh menghidupkan orang yang mati serta “gunakan dengan menanggung akibatnya sendiri”. Sementara itu ketegangan antara Joseon dengan Pajeowi semakin tegang apabila 15 orang pencari ginsing haram telah ditemui mati di kawasan hutan tersebut.
Apakah yang akan terjadi? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Pertama sekali, sesiapa yang belum menonton musim 1 dan 2 siri Kingdom seharusnya menontonnya dahulu sebelum menonton Kingdom Ashin of the North. Ini kerana keseluruhan filem ini akan berkait dengan apa yang berlaku dalam siri Kingdom, khasnya bagaimana zombie digunakan dalam peperangan yang diceritakan dalam siri Kingdom.
Filem ini mempunyai skop plot yang agak besar merengkumi eleman politik, dendam, dan pengkhianatan. Oleh itu setiap babak perlu difahami dalam konteks “big picture”, baru lah penonton akan faham mengapa pengkhianatan yang berlaku. Ia tidaklah begitu kompleks dan jika anda biasa menonton anime seperti Samurai X, kompleksiti plotnya tidaklah melebihi anime-anime berkenaan.
Aksi bukan fokus utama dalam filem ini. Ia mempunyai beberapa babak aksi, namun jelas sekali fokus utama adalah menceritakan kisah Ashin, konflik Joseon dengan Pajeowi serta asal usul bunga zombie ini. Jadi anda tidak perlu mengharapkan babak-babak lawan seperti dalam siri Kingdom yang utama.
Secara keseluruhannya, filem ini akan menjawab dari mana datangnya zombie, kenapa dan siapa yang mewujudkan mereka. Ia belum menjawab apa agenda besarnya dengan zombie ini, melainkan apa yang didedahkan dalam musim 1 dan 2 siri Kingdom. Dengan kata lain, ia menjawab beberapa soalan di samping mewujudkan soalan yang lain. Ini tentunya satu sebab yang baik untuk menonton musim ketiga siri Kingdom yang akan bermula tidak lama lagi.
Positif vs Negatif
Positif
- Melengkapi kisah silam siri Kingdom yang belum diceritakan
- Sinematografi dan pemandangan yang cantik
Negatif
- Ada banyak babaknya yang sangat gelap, kadang-kala sukar untuk melihat apa yang berlaku
- Kurang babak aksi
- Tiada apa-apa yang memberangsankan. Filem ini hanya mahu menyampaikan kisahnya.
Penilaian
Jalan cerita – 7/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 7/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10