Sebenarnya Shang-Chi bukanlah sebuah filem yang admin nanti-nantikan, tetapi memandangkan ia antara beberapa filem baru ditayangkan di pawagam, admin pun menontonnya. Seperti filem Black Panther, filem ini mempunyai kepentingan dari segi mengetengahkan budaya China dan menjadi tumpuan para penduduk Amerika yang berketurunan Cina.
Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings – Filem Marvel yang Tampak Seperti Filem Epik China [Review]
Shang-Chi mengisahkan Shaun atau nama sebenarnya Shang-Chi yang tinggal di San Francisco dan berkawan rapat dengan Katy sejak 10 tahun lalu. Tanpa pengetahuan Katy, Shaun sebenarnya adalah anak kepada ketua organisasi 10 Rings yang ingin menguasai dunia. Shaun telah melarikan diri dari bapanya sejak 10 tahun lalu, tetapi kini, konco-konco bapanya menemuinya untuk mendapatkan kalung istimewa yang dihadiahkan ibunya kepadanya serta adiknya.
Maka bermulalah usaha Shaun untuk mencari adiknya sebelum konco-konco bapanya menjumpainya. Apakah kepentingan kalung-kalung tersebut? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Pertama sekali pujian harus diberikan kepada pembikin filem ini kerana menampilkan latarbelakang budaya golongan Cina Amerika dengan agak tepat dan juga menggunakan bahasa Mandarin dalam kebanyakan dialog melibatkan Shang-chi dengan individu Cina yang lain dalam filem ini. Agak mustahil untuk 100% menggunakan bahasa Mandari kerana Katy lakonan Awkwafina tidak tahun berbahasa Mandarin. Apa pun, ini menambahkan lagi nilai dan kualiti filem ini.
Sebelum ini admin ada komen dalam review filem Black Widow di mana admin mengatakan kebanyakkan filem Marvel menggunakan formula yang sama dan walaupun filem itu penuh aksi, ia boleh diagak. Tetapi filem Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings ini lain dari yang lain. Ia lebih mirip sebuah filem epik China hinggakan admin pun kadang-kadang terlupa admin sedang menonton sebuah filem Marvel. Bermakna filem ini memang suatu yang baru untuk Marvel.
Admin juga tertanya-tanya bagaimana pihak Marvel akan menghubungkan jalan cerita utama filem-filem Marvel fasa ke 4 ini dengan Shang-Chi yang ternyata suatu yang berlainan berbanding adiwira Marvel yang biasa kita lihat. Ia akan terjawab dalam babak pasca kredit, jadi jangan lupa menonton babak pasca kredit. Terdapat 2 babak pasca kredit.
Dalam mana-mana filem yang berkaitan budaya Cina, tidak dapat dipisahkan dengan adegan kung-fu. Perkara ini sememangnya dititikberatkan oleh pembikin dan koreaografinya sememangnya dilihat dibikin dengan teliti sehinggakan penonton boleh membezakan gaya kung-fu yang diguna pakai beberapa watak berlainan dalam filem ini. Sungguhpun begitu, ia masih tidak dapat menandingi filem epik China seperti Hero, Ip Man dan lain-lain.
Jalan ceritanya juga jelas dan menghiburkan. Ia tidaklah klise seperti bagaimana orang barat yang cuba membuat sebuah filem asia mengikut pandangan mereka. Ternyata para pembikin telah menerima tunjuk ajar dari penasihat budaya Cina mereka, memandangkan hasilnya yang terbaik.
Kesimpulannya, filem Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings merupakan sebuah filem yang memberikan kelainan kepada filem-filem Marvel yang lebih berpaksikan barat. Admin merekoman filem ini untuk semua lapisan masyarakat. Mana tahu, terdapat adiwira Marvel nusantara pula satu hari nanti.
Positif Vs Negatif
Positif
- Menampilkan budaya Cina-Amerika tanpa mengorbankan budaya asli China
- Aksi dan koreografi kung-fu yang hebat dan berkualiti
- Jalan cerita yang baik
- CGI yang berkualiti tinggi
Negatif
- Bagi admin, ia tidaklah sehebat flawless, terdapat juga kelemahan di sana sini.
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 9/10
Nilai hiburan – 9/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 10/10