Satu filem yang admin terserempak di Netflix adalah Utøya: July 22, sebuah filem mengenai tragedi pengeboman dan tembakan rambang di Denmark pada tahun 2011 lalu oleh Anders Behring Breivik. Sebenarnya ada dua filem mengenai tragedi ini. Sebuah lagi bertajuk “22 July”, namun admin tidak begitu rekomen filem tersebut kerana ia panjang dan lebih mengisahkan kemelut dalaman seorang mangsa tembakan rambang di sana yang kehilangan adiknya dan mukanya cedera terkena tembakan. Walaupun separuh pertamanya mengisahkan kisah sebenar pengeboman dan tembakan rambang tersebut, separuh keduanya mengisahkan trauma watak utamanya, mangsa tembakan rambang. Jika anda sukakan filem sebegitu, silakan, namun kami tidak yakin ramai sukakannya kecuali penonton yang benar-benar ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku pada hari berkenaan.
[Review] Utøya: July 22
Utøya: July 22 merupakan satu kisah watak fiksyen berdasarkan kejadian benar tembakan rambang di pulau Utøya, Denmark pada 22 Julai 2011. Filem ini mengikuti watak fiksyen bernama Kaja, yang merupakan gadis remaja yang mengikuti Summer Camp di Utøya bersama adik perempuannya. Ia menceritakan kekalutan dan ketakutan yang dialami peserta kem tersebut semasa berlakunya tembakan rambang oleh Brevik.
Ingin mengetahui kisahnya? Tontonlah filem ini di Netflix.
Review
Filem Utøya ini dirakam menggunakan teknik One Shot, sama seperti filem 1917. Bermakna kamera akan mengikuti watak utama kemana sahaja beliau pergi. Tambahan pula, jurukamera seolah-olah bertindak sebagai pengganti kepada penonton, seolah-olah penonton berada di situasi sama dengan watak utama. Jika beliau menyorok, jurukamera juga akan membuatkan seolah penonton juga menyorok dan jika terserempak dengan penembak, jurukamera seolah mengelak tembakan dari penembak.
Kebaikan menggunakan teknik ini untuk menceritakan kisah di Utøya adalah ia benar-benar berkesan. Pertama sekali, anda benar-benar dapat merasai apa yang dirasai oleh peserta kem tersebut. Walaupun karakter Kaja dan adiknya Emilie adalah fiksyen, namun admin yakin kisah adik beradik terpisah semasa kejadian tembakan rambang ini bukanlah unik, malah filem 22 July mempunyai kisah yang lebih kurang sama. Sepanjang filem ini, watak Kaja cuba sedaya upaya mencari adiknya supaya mereka berdua, bersama rakan-rakan boleh menyelamatkan diri dari penembak itu. Itulah misinya.
Pengalaman menonton filem ini memang realistik. Sebagai permulaan, anda tidak dapat melihat penembaknya, sebaliknya hanya mendengar bunyi tembakan dan melihat orang berlari ketakutan dari arah tembakan kedengaran. Kemudian tembakan tersebut berterusan ke mana sahaja watak utama ini melarikan diri. Kaja pula akan terserempak dengan mayat mangsa tembakan, mangsa tembakan mati dalam pangkuannya menambahkan lagi ketakutan dan realism filem ini. Pada pendapat admin, debaran paling besar disebabkan kerana kita tidak tahu di mana penembak itu berada, seolah kita menunggu maut dan hanya dalam dua tiga babak sahaja dapat kita lihat kelibat penembak menembak ke arah.
Kesudahan filem ini memang ironik, tetapi bijak. Pastikan anda cam rupa Kaja dan Emilie untuk memahami kesudahan filem ini dengan jelas. Pada permulaan filem Kaja dan Emilie akan bertengkar, pastikan anda cam mukanya kerana selepas itu, watak tersebut tidak akan kelihatan sehingga penghujung. Jika anda tidak cam rupa Emilie, ironi kesudahannya tidak dapat anda rasai.
Positif vs Negatif
Positif
- Teknik penceritan yang berkesan dan realistik dalam menyampaikan perasaan peserta kem tersebut
- Kesudahan yang ironik tetapi bijak, jika anda menumpukan perhatian dan menyedarinya.
- Skrip yang santai, seperti tiada skrip. Ia lebih realistik.
Negatif
- Sesetengah bahagian, kameranya bergoyang agak banyak dan memeningkan.
- Tidak semua orang akan suka filem ini kerana banyak bahagian perlahan.
Kesimpulan
Filem Utøya: July 22 jika difikirkan semula, adalah sebuah filem berkos sangat rendah. Namun teknik penggambarannya yang menarik, benar-benar membuatkan penonton merasakan berada di pulau Utøya semasa kejadian tersebut dan mengalami trauma yang sama dengan peserta kem. Memandangkan filem ini lebih berbentuk penghayatan, admin merekomen anda menonton dalam kumpulan kecil dan betul-betul menumpukan perhatian semasa menonton.
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 9/10
Nilai hiburan – 9/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10