[Review] Gannibal

Sebenarnya Gannibal merupakan sebuah siri TV Disney+ Hotstar berbahasa Jepun yang admin terserempak sekitar dua tahun lalu. Admin mula menonton siri ini berdasarkan trailernya yang nampak OK OK sahaja. Tetapi admin terpesona dengan siri dua musim ini. Izinkan admin review siri ini.

[Review] Gannibal Season 2

Seperti boleh diagak dari tajuknya “Gannibal”, ya, siri ini sememangnya mengisahkan tentang satu puak kanibalisma berlatarbelakangkan kawasan perkampungan di Jepun. Secara spesifik, siri Jepun yang bertemakan seram misteri, mengisahkan seorang anggota polis bernama Daigo Agawa yang dipindahkan dari Tokyo ke sebuah kampung bernama Kuga kerana kes penculikan anaknya dulu di mana beliau bertindak melulu, menyebabkan penjenayahnya ditembak dan anaknya trauma dan tidak lagi mahu bercakap.

Namun kampung Kuga ini menyimpan misteri. Terdapat hubungan pelik antara orang-orang kampung dengan sebuah keluarga kaya yang menguasai kampung itu, iaitu keluarga Goto. Tambahan pula terdapat khabar angin bahawa keluarga ini adalah kanibal dan memakan daging manusia. Daigo mula menyiasat secara perlahan-lahan dan menyumpai banyak perkara pelik mengenai penduduk di kampung itu. Apakah kesudahannya? Tontonlah siri ini di Disney+ Hotstar.

Gannibal

Gannibal Musim 1

Walaupun admin tonton siri ini secara spontan, apa yang menarik minat admin untuk terus menonton sehingga akhir adalah admin memang minat filem penyiasatan, seram sebegini. Proses penceritaannya sedikit perlahan, jadi jika anda seorang yang tidak sabar, mungkin akan give up di pertengahan. Tambahan pula dalam musim pertama ini siri ini meletakkan usaha yang tinggi untuk memastikan penonton mengetahui latarbelakang watak-watak dalam siri ini dan sejarah mereka. Jadi, terdapat banyak flashback-flashback dipertengahan cerita bagi menceritakan latarbelakang watak-watak. Watak penting dalam siri ini agak banyak, jadi penonton perlu memberi tumpuan penuh semasa menonton supaya tidak ketinggalan. Ini mungkin satu kelemahan atau kekuatan siri ini, bergantung kepada jenis penonton.

Perkara kedua yang menarik minat admin untuk terus menonton siri ini adalah lakonan dan perwatakan watak-watak dalam siri ini tidak begitu “skema” seperti siri-siri Jepun lain. Biasanya watak Jepun mesti bersopan santun dan mengikut peraturan serta norma orang Jepun. Tetapi dalam siri ini, terutamanya watak utama pegawai polis Daigo sememangnya tidak konvensyonal. Dia lebih spontan, ganas dan lebih mirip polis dalam filem barat yang “bertindak mengikut naluri”. Hasilnya adalah babak aksi lebih realistik dan mendebarkan. Sesuatu yang jarang dapat dilakukan dalam siri-siri TV Jepun yang saya tonton sebelum ini.

Walaubagaimanapun, musim pertama tamat dengan episod yang tergantung. Episod tersebut merupakan kemuncak siasatan pegawai Polis Daigo, tapi tamat pada saat-saat genting dan admin terpaksa menunggu lebih 2 tahun untuk musim kedua.

Gannibal

Gannibal Musim 2

Baru-baru ini musim kedua Gannibal telah ditayangkan di Disney+ Hotstar dan admin berkesempatan menontonnya sehingga habis. Secara ringkas, musim kedua telah meningkatkan tahap keganasan sebanyak 10 kali sehingga admin tak jangka siri ini boleh menampilkan babak aksi epik ala Game of Thrones (namun tidaklah setanding). Admin tidak jangka babak sebegini ganas dan mendebarkan boleh berada dalam siri TV Jepun aliran perdana, namun ia satu kejutan yang dialu-alukan. Namun admin juga memberi amaran awal selain adegan ganas, ada juga babak 18SX dalam musim 2 ini, jadi ia memang tidak boleh ditonton oleh golongan kanak-kanak.

Gannibal

Musim kedua ini banyak merungkai misteri-misteri dan mendedahkan secara jelas mengenai hubungan sebenar penduduk kampung dengan keluarga Goto. Ia menceritakan secara panjang lebar mengenai sejarah Kampung Kuga, watak-watak utamanya serta sejarah mereka dan kaitannya dengan situasi mereka sekarang. Ia akan dihubungkan dengan perkara-perkara yang didedahkan dalam musim 1, jadi mungkin anda perlu menonton semula musim 1 jika anda tidak menonton musim 1 secara terus menerus dengan musim 2.

Musim kedua menoktahkan kisah Kampung Kuga dan Keluarga Goto dengan satu mesej yang universal. Dosa nenek moyang jangan dikaitkan dengan generasi baru dan generasi baru haruslah menjadi pencetus pembaharuan sekiranya ingin melihat perubahan.

Gannibal

Kesimpulan

Siri Gannibal ini bagi admin merupakan sebuan siri TV Jepun yang tidak konvensyonal. Tema sebegini biasanya akan dibuatkan dalam bentuk anime kerana tema ganasnya, tetapi kali ini pihak pengarah telah berjaya membawa tema siri ini ke dunia nyata dengan agak baik. Ia sebuah siri yang berat, jadi bersedialah untuk membaca sarikata dengan banyak dan dengan teliti. Namun, admin anggap ia berbaloi untuk ditonton, walaupun sesetengah budaya Jepun agak pelik untuk ditonton.

Penilaian:8/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *