Article 15 – Kisah Jenayah Antara Kasta [Review]

Satu lagi filem yang kami terserempak di Netflix adalah sebuah filem thriller penyiasatan Bollywood bertajuk Article 15. Filem ini lain sedikit dari filem Bollywood lain di mana ia tidak mempunyai adegan menari dan menyanyi. Tambahan pula ia dibikin berdasarkan kisah benar. Berikut pendapat kami mengenainya.

Article 15

[Review] Article 15 – Kisah Jenayah Antara Kasta

Article 15 merujuk kepada artikel ke 15 dalam perlembagaan India yang secara ringkasnya menyebut sesiapa tidak boleh mendiskriminasi orang lain berdasarkan agama, kasta, bangsa dan sebagainya. Filem Article 15 mengisahkan seorang inspektor polis yang jujur dan berpendidikan tinggi dari bandar bernama Ayan Ranjan telah ditugaskan untuk mengetuai sebuah balai polis di kawasan pedalaman India.

Di sana, kes pertama yang sampai kepadanya adalah penemuan dua gadis dari kasta Dalit (kasta terendah dalam masyarakat Hindu) yang mati tergantung di sebatang pokok di sebuah sawah di kampung berhampiran. Namun, dari awal penyiasatannya telah ada tangan-tangan ghaib yang ingin mengalih tumpuan penyiasatan dengan menuduh bapa-bapa mangsa membunuh mereka atas dasar “honour killing“.

Dengan niat menegakkan keadilan, Inspektor Ayan mula menyiasat dengan lebih mendalam dan mengorek segala sejarah dan pendangan masyarakat tempatan. Satu per satu fakta kes di bongkarkan. Tetapi, jelas sekali penyiasatannya membuatkan sesetengah orang tidak senang duduk dan cuba menjatuhkannya. Apakah kesudahan Inspektor Ayan? Tontonlah filem ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.

Article 15

Review

Pertama sekali, kami perlu beri amaran awal bahawa filem ini sangat berat dan memerlukan tumpuan 110% bagi anda benar-benar memahami plot dan penyiasatan yang sedang dijalankan. Nama-nama watak dan rupa mereka juga perlu diingati supaya anda boleh mengikuti perkembangan penyiasatan inspektor. Keperluan untuk membaca sari kata pula menjadikan filem ini agak mencabar untuk diikuti. Namun agak berbaloi untuk anda mengikuti filem ini kerana anda boleh belajar banyak tentang masyarakat tradisional India yang masih mengikuti sistem kasta dengan penuh teliti. Kami jamin anda juga akan pening apabila mengetahui betapa kompleksnya sistem kasta ini. Sudahlah terdapat banyak kasta, terdapat juga sub kasta yang tinggi sedikit atau rendah sedikit dari kluster kasta yang sama. Jangan risau, Inspektor Ayan juga pening memandangkan beliau orang bandar dan dididik secara modern tanpa sistem kasta. Malah beliau tidak tahu kastanya sendiri.

Plot dan jalan cerita filem ini memang kompleks, tetapi boleh difahami jika anda menumpukan perhatian. Secara asasnya, dari awal kita boleh nampak siapa yang kaki rasuah, kaki bodek dan tali barut taiko kawasan. Tetapi putaran plotnya ialah siapa lagi antara watak-watak dalam filem ini yang terlibat sama? Itulah yang menjadikan penonton melekat di depat TV/skrin komputer. Cara Inspektor menangani politik dalaman dan politik perkauman juga ditampilkan dengan jelas.

Cuma seperti yang kami katakan tadi, anda perlu mengingat nama-nama watak dan menentukan siapa yang jahat dan siapa yang baik. Kalau tidak ia akan menyukarkan pemahaman anda. Tapi jangan terlalu risau tentang perkara itu, admin juga keliru pada mulanya, lama kelamaan admin boleh ingat dan mengecam siapa yang baik dan jahat.

Secara keseluruhan filem ini mengetengahkan beberapa isu iaitu isu kasta di India yang secara langsung menentukan siapa yang di atas dan siapa di bawah sekaligus memberi legitimasi kepada sistem sosial yang korup. Kemudian isu bagaimana sistem korup ini boleh mempengaruhi sistem keadilan setempat. Seterusnya, ia juga mengetengahkan bagaimana kasta rendah ini dipandang hina oleh kasta atas menyebabkan mereka tiada harapan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi dan sosial mereka. Akhir sekali ia mengetengahkan jenayah rogol yang semakin menjadi-jadi dalam masyarakat di India.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang kompleks dan mendalam. Suatu yang baik bagi sebuah thriller penyiasatan
  • Paparan realiti masyarakat pedalaman di India
  • Lakonan yang meyakinkan

Negatif

  • Filem yang sangat berat
  • Perlu mengingati watak-watak yang banyak untuk mengikuti jalan ceritanya

Article 15

Kesimpulan

Bagi anda yang suka memeningkan kepala menonton filem thriller penyiasatan yang kompleks, filem Article 15 memang untuk anda. Kalau anda jenis malas nak fokus, anda masih boleh menonton filem ini dan melihat bagaimana berfungsinya sistem kasta dalam masyarakat pedalaman di India. Tapi, kami sudah beri amaran ia filem yang berat.

Penilaian

Jalan cerita – 9/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10

Nilai hiburan – 6/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10

IMDB

 

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *