Tempatan

Kolumpo [Review]

Filem Kolumpo dikategorikan sebagai sebuah filem Malaysia yang memaparkan kisah hidup masyarakat majmuk di Malaysia dan isu-isu yang menyentuh masyarakat setempat.

Sebelum itu, seharusnya sedikit penerangan dibuat. Filem tempatan terbahagi kepada dua. Pertama ialah filem vernakular, iaitu, filem Melayu, India dan Cina (Mandarin/Kantonis). Yang kedua merupakan filem Malaysia yang menggabungkan pelbagai bangsa dan bahasa penduduk Malaysia.

Tidak dapat dinafikan, dalam filem vernakular juga kadang-kala terdapat kemajmukan, namun biasanya watak utama dipegang oleh mereka yang bercakap dalam bahasa filem itu. Contohnya dalam filem Melayu Kisah Paling Gangster, terdapat seorang watak cina dalam gang hero. Tetapi kerana ia sebuah filem Melayu (vernakular) watak utama yang diketengahkan adalah orang Melayu.

Kolumpo

Kolumpo [Review]

Kolumpo merupakan filem yang mempunyai 3 kisah berlainan yang menyentuh isu yang berlainan penduduk yang hidup di Kuala Lumpur. Kisah pertama mengisahkan seorang pemuda dari india yang ditawarkan kerja di Malaysia tetapi setibanya di Malaysia, didapati syarikat yang menawarkannya kerja telah tutup. Nasibnya baik kerana seorang pemilik restoran India mengambilnya berkerja.

Kisah kedua mengisahkan Gianna yang mempunyai masalah dengan ibunya kerana sering mendesaknya supaya berkahwin. Dia telah terserempak dengan nenek Wok yang mecari jalan pulang. Dia pun menghantarnya. Tetapi, rupa-rupanya nenek Wok sudah nyanyuk dan tak tahu jalan pulang.

Kolumpo

Kisah ketiga pula mengenai Hafid, seorang pemuda yang mencari pasangan terserempak dengan seorang perempuan “happy go lucky” bernama Hayy yang sedang bersedih kerana berpisah dengan teman lelaki. Mereka kemudian-berjalan-jalan di tengah malam di kawasan tengah Kuala Lumpur dan berjumpa berbagai-bagai ragam orang yang berlainan dan pelik di pandangan Hafid.

Jalan Cerita

Jalan cerita ketiga-tiga kisah dalam filem ini agak mudah difahami, namun apa yang membuatkannya jauh lebih baik daripada filem tempatan lain adalah mesej tersiratnya. Ia memaparkan isu-isu yang sebenar dalam masyarakat di Kuala Lumpur, termasuk perkara-perkara yang biasanya disembangkan oleh masyarakat tempatan.

Mungkin kerana tahap realiti ini, sekurang-kurangnya dua dialog terpaksa disenyapkan, dan ia bukan kerana bahasa kesat. Andaian saya ia adalah kerana dialog tersebut mungkin mengutuk pihak berkuasa.

Kolumpo

Secara keseluruhan, jalan ceritanya penuh dengan pengajaran. Namun kebanyakan pengajarannya tersirat dalam lakonan dan reaksi watak-wataknya, dan bagi yang dapat tangkap pengajarannya itu, akan menyedari pengajarannya tersebut akan memberi kesan yang bak kata orang, “makan dalam”.

Lakonan

Tidak seperti filem Melayu lain di mana daripada dialognya memang kelihatan dibaca dari skrip, dialog dalam filem ini kelihatan natural dan hampir kepada dunia sebenar. Fakta ini lebih jelas dalam kisah kedua apabila Giana bertanyakan soalan kepada sekumpulan mat rempit. Reaksi mereka memang sama dengan bagaimana seorang Melayu biasa berkomunikasi dengan orang cina atau berlainan bangsa.

Nenek Wok yang dimainkan oleh Ruminah Sidek sememangnya kelas pertama. Beliau sering berlakon sebagai nenek tua yang apabila kita tengok, mesti berasa kasihan. Lakonannya kali ini juga memberi kesan yang sama kepada penonton. Agak pelik kenapa beliau tidak memenangi sebarang anugerah filem tempatan kebelakangan ini.

Dalam kisah pertama, kekuatannya ialah lawak yang bersahaja. Pelakonnya tidak mencuba terlalu bersungguh-sungguh untuk menjadi kelakar, sebaliknya menampilkan lakonan yang bersahaja yang sememangnya lucu. Patut dipujia juga ialah lakonan Sofi Jikan yang berlakon sebagai tonto warga Indonesia. Saya pasti, jika anda menutup mata, pasti anda menyangka dia orang Indonesia sebenar. Lakonannya yang bersahaja juga membuakan penonton tidak kering gusi.

Lakonan Sharifah Amani sebagai Hayy dalam kisah ketiga pula, seperti biasa, sangat berkesan. Sepertimana kita tahu, beliau selalu berlakon sebagai seorang yang happy go lucky dalam kebanyakan filemnya dan filem ini tidak terkecuali. Lakonannya yang manatap berjaya mengimbangi lakonan kurang mantap Amirul Ariff, seorang pelakon baru yang berlakon sebagai Hafid.

Walaupun pelakon tambahan dalam filem ini tidak semuanya mempunyai mutu lakonan yang baik, reaksi atau dialog yang diperkatakan adalah hampir kepada reaksi orang di dunia sebenar. Tidak seperti KL Gangster, sebagai contoh, di mana kita sendiri tahu bahawa dalam realiti tidak ramai orang yang bercakap seperti itu. Boleh dikatakan itu adalah kerana kekuatan skripnya.

Kesimpulan

Secara kesimpulan, filem Kolumpo disasarkan kepada golongan urban. Mungkin bagi golongan di luar urban, sukar sedikit untuk menghayati filem ini. Tetapi satu yang pasti ialah, bagi mereka yang gemarkan filem Allahyaramah Yasmin Ahmad, filem ini sangat sesuai untuk mereka.

Namun saya dapat rasakan filem ini tidak akan sepopular atau mendapat kutipan sebanyak filem seperti KL Gangster 1 dan 2. Tetapi jika difikirkan, kebanyakan filem yang memenangi Oscar mempunyai nasib yang sama.

Kolumpo di Wikipedia

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top