Antarabangsa

The Revenant [Review]

The Revenant merupakan salah sebuah filem yang dicalonkan untuk anugerah Oscars. Malah pelakon utamanya, Leonardo DiCaprio, diuar-uarkan akan memenangi anugerah Oscar pertamanya melalui filem ini dengan lakonan mantap dan meyakinkan yang ditampilkannya.

The Revenant

The Revenant [Review]

The Revenant berlangsung di zaman selepas revolusi Amerika di mana di bahagian utara Amerika, para pemburu yang memburu dan mendapatkan bulu haiwan untuk dijual perlu mendapat bantuan tentera kerana ketidakstabilan akibat permusuhan antara Amerika dengan Perancis (dari Kanada) serta permusuhan puak-puak orang asli Amerika.

Ia mengisahkan Huge Glass (DiCaprio) dan anaknya Hawk menjadi mencari arah untuk pasukan pemburu bulu haiwan dari Amerika. Semasa hendak membawa pulang hasil buruan bulu haiwan, kumpulan ini diserang puak orang asli Ree yang menuduh mereka menculik anak ketua puak.

Walaupun berjaya melarikan diri, kumpulan pemburu itu terpaksa mengharungi jalan getir dalam suhu di bawah paras beku untuk sampai ke pangkalan mereka. dalam perjalanan, Hugh Glass telah diserang beruang dan cedera parah. Setelah distabilkan keadaannya, mereka berusaha untuk membawa pulang Glass ke pangkalan tetapi ternyata ia terlalu sukar.

Untuk itu, John Fitzgerald (Tom Hardy), Hawk dan Bridger ditugaskan untuk menjaga Glass sehingga dia boleh berjalan atau sekiranya dia mati, memberikannya satu upacara pengebumian yang sempurna. Namun Fitzgerald yang tamak ingin membunuh Glass dan terus pulang ke pangkalan. Dalam pergeluran, anak Glass pula yang dibunuh dan Glass ditinggalkan untuk mati seorang diri. Glass yang penuh dengan perasaan marah ingin membalas dendam atas kematian anaknya.

Mampukah beliau terus hidup dan melakukannya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

the-revenant

Jalan Cerita dan Lakonan

Jika anda pernah menonton filem-filem calon Oscar, anda tentu faham, jalan cerita sebuah filem calon Oscar biasanya berkembang dengan perlahan, mempunyai makna mendalam dan memerlukan penghayatan yang mendalam. Filem ini tidak terkecuali. Ia menampilkan jalan cerita yang berkembang dengan perlahan untuk memberi peluang kepada penonton untuk menghayati babak-babaknya dan situasi sukar yang dialami protagonis dalam filem ini.

Dari segi itu, filem ini berjaya memberi gambaran yang sangat berkesan berkenaan keadaan hidup pada sama tersebut dan juga kepayahan yang terlalu dahsyat yang dilalui Hugh Glass. Jalan ceritanya umpama sebuah novel klasik di mana seorang bapa ingin membalas dendam ke atas pembunuhan anaknya.

Lakonan yang ditampilkan dalam filem ini juga berada di satu standard yang tinggi, terutamanya pelakon utama Leonardo DiCaprio dan Tom Hardy. Masing-masing berjaya membawa watak mereka dengan begitu hebat sekali. Kami berpendapat DiCaprio patut memenangi Oscar berdasarkan lakonannya dalam babak diserang beruang, di samping babak survival yang realistik.

the-revenant-tom-hardy-1

Sinematografi dan Kesan Khas

Sinematografi filem ini memberi fokus kepada penghayatan alam sekitar, khasnya landskap Amerika utara yang bersalji dan berbukit-bukau. Babak kem pemburu diserang orang asli Ree antara babak terbaik dalam filem ini dan mengingatkan kami kepada babak epik serangan pantai Normandy dalam filem Saving Private Ryan. Anda akan terasa seolah berada di tempat berkenaan, sedang melarikan diri dari serangan anak panah dan pahlawan berkuda puak Ree.

Harus diingat juga filem ini mempunyai babak berdarah dan ganas yang banyak. Dalam babak pertama sahaja, banyak keganasan telah ditampilkan yang mungkin akan membuatkan sesetengah golongan terasa mual. Apatah lagi babak serangan beruang dimana Hugh Glass telah dicakar dan digigit beruang, menyebabkan kesan-kesan cakar yang menampakkan daging. Dari segi ini, pujian harus diberikan kepada pasukan kesan khas kerana berjaya menampilkan realism yang tinggi dalam menggambarkan serangan tersebut.

The Revenant

Skor Muzik dan Kesan Bunyi

Ini juga satu bahagian filem ini yang kami minati. Secara keseluruhan, filem ini boleh dikatakan tiada langsung skor muzik. Apa yang ada hanyalah bunyi alat muzik yang kami percayai biola atau celo yang memainkan satu atau dua nota muzik dalam beberapa babak filem ini.

Anda mungkin akan fikir, tentu filem ini membosankan tanpa muzik untuk memberi kesan emosi kepada penonton. Tetapi tidak sama sekali. Pengarah telah secara bijak mengetengahkan bunyi alam sekitar seperti bunyi air, haiwan dan angin dalam setiap babak yang diarahkannya. Bermakna jika babak itu merupakan babak hutan bersalji, akan kedengaran bunyi salji turun dan salji yang cair jatuh ke tanah memberikan bunyi umpama hujan. Pendek kata, mereka yang gemar menghayati alam sekitar tentu akan terpesona dengan kesan bunyi dalam filem ini.

The Revenant

Positif vs Negatif

Positif

  • Mempunyai mesej yang mendalam dan bermakna
  • Kesan bunyi alam sekitar yang hebat.
  • Kesan khas dan sinematografi yang terbaik.
  • Gabungan aksi dan unsur abstrak yang diolah dengan baik.

Negatif

  • Jalan cerita yang berkembang dengan perlahan
  • Filem ini mungkin tidak sesuai untuk mereka yang tidak gemarkan filem abstrak.

revenant-gallery-20-gallery-image

Kesimpulan

Secara jujurnya, walaupun kami rasakan filem ini mempunyai peluang untuk memenangi anugerah Oscar, ia bukan untuk semua orang. Bagi mereka yang gemarkan filem yang mempunyai mesej mendalam, filem ini untuk anda. Bagi mereka yang gemarkan filem aksi santai seperti The Avengers, mereka mungkin akan hilang kesabaran menonton filem ini, walaupun babak aksi yang ditampilkan agak epik. Apa pun, tontonlah trailernya dahulu sebelum mengambil keputusan menontonnya.

Penilaian : 7.5/10

IMDB

1 Comment

1 Comment

  1. Pingback: The revenant | Kedai KoPi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top