Antarabangsa

Pirates of the Caribbean Salazars Revenge [Review]

Pirates of the Caribbean Salazars Revenge atau juga dikenali sebagai Pirates of the Caribbean: Dead Men Tell No Tales merupakan filem terbaharu dalam francais Pirates of the Caribbean yang muncul di kala penonton sudah hampir melupakan francais yang telah berusia 14 tahun (filem pertama Pirates of the Caribbean Curse of the Black Pearl ditayangkan pada 2003). Namun apa pun, kami berpeluang menonton filem ini dan memberi kata dua mengenainya.

PIRATES OF THE CARIBBEAN SALAZARS REVENGE

Pirates of the Caribbean Salazars Revenge [Review]

Pirates of the Caribbean Salazars Revenge memperkenalkan watak utama baharu iaitu Henry Turner, anak kepada Will Turner (Orlando Bloom). Henry merupakan seorang kelasi peringkat bawahan tentera laut British yang sejak kecilnya mencari cara untuk melepaskan bapanya dari sumpahan the Flying Dutchman di mana beliau disumpah untuk bekerja dalam kapal puaka tersebut selama-lamanya. Oleh sebab itu, Henry telah mempelajari semua jenis sumpahan di dalam dunia dan mendapat tahu cara untuk mematahkan sumpahan itu adalah dengan Trident of Poseidon. Untuk itu beliau harus mencari Kapten Jack Sparrow.

Suatu hari dalam usaha memusnahkan kapal lanun, kapalnya membuat kesilapan mengikut kapal tesebut ke dalam sebuah gua yang berpuaka yang dihuni oleh Kapten Salazar dan krunya, iaitu sebahagian dari tentera laut Sepanyol yang disumpah untuk berada di dalam gua tersebut tanpa peluang untuk melarikan diri. Henry mengetahui perkara ini dan meminta kaptennya untuk tidak memasuki gua tersebut, namun beliau dituduh berpaling tadah dan dikurung. Apabila memasuki gua tersebut, kapal Henry telah digempur dan semua anak kapal dan kaptennya mati kecuali beliau.

Rupa-rupanya Kapten Salazar ini hendak mencari Kapten Jack Sparrow untuk membalas dendam dan oleh kerana Henry mempunyai hajat untuk mencari Kapten Jack Sparrow untuk mencari Trident of Poseidon, Kapten Salazar melepaskannya untuk memberi mesej kepada Jack Sparrow. Pada masa yang sama seorang wanita yang bijak dalam astronomi bernama Carina Smyth juga ingin mencari Trident of Poseidon, malah hanya beliau sahaja yang boleh membaca peta untuk mencari pulau di mana ia berada. Beliau sedang melarikan diri dari pihak British kerana dituduh menjadi ahli sihir. Kerana mempunyai halatuju yang sama, ketiga-tiga mereka bekerjasama untuk mencari harta karun itu.

Pada masa yang sama, satu kesilapan bodoh yang dilakukan Kapten Jack Sparrow menyebabkan Kapten Salazar dan krunya terlepas dan mengejar Kapten Jack Sparrow. Apakah kesudahan filem ini? adakah mereka akan berjaya mencari Trident of Poseidon? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita Dan Lakonan

Secara keseluruhan, jalan cerita filem ini menghiburkan dan lucu. Pendek kata semua yang diharapkan dari sebuah filem Pirates of the Caribbean ada dalam filem ini. Malah babak pengenalan sudah padat dengan aksi dan lawak jenaka bersahaja dari Kapten Jack Sparrow dan krunya. Filem ini juga menerangkan sejarah Jack Sparrow dan Kapten Salazar, dan kita berpeluang melihat watak Jack Sparrow semasa beliau muda dan kenapa beliau sangat dihormati oleh puak lanun. Ini penting untuk ditonton.

Tambahan pula watak-watak baharu iaitu Henry Turner dan Carina Smyth mempunyai kaitan dengan watak-watak utama francais filem ini, seterusnya menjadikan filem ini lebih menarik untuk ditonton. Agak penting juga untuk peminat francais filem ini untuk menontonnya kerana nampaknya pembikinnya ingin membuat satu “jambatan antara generasi” watak-watak utamanya dan meletakkan asas untuk peranan watak-watak baharu itu dalam filem-filem akan datang. Jelas sekali pembikin francais ini ingin memanjangkan lagi jangkahayatnya dan membikin mungkin 2-3 lagi filem baharu selepas ini. Apa yang pasti, daripada babak tersembunyi di penghujung babak kredit membuktikan terdapat sekurang-kurangnya satu lagi sequel dalam francais ini, jadi pastikan anda menontonnya.

Kesan Khas

Kesan khas dalam filem Pirates of the Caribbean Salazars Revenge juga harus diberi pujian. Mereka menggunakan gabungan kesan khas sebenar dengan CGI. Sebagai contoh, babak aksi pembukaan di bandar di mana Kapten Jack Sparrow dan krunya merompak bank menggunakan kesan khas dan lagak ngeri sebenar, dan semuanya dibikin dengan baik. Manakala kebanyakkan babak-babak yang melibatkan kapal di laut dibikin menggunakan gabungan CGI dan lagak ngeri sebenar. Semuanya kesan khasnya kelihatan dibikin dengan begitu baik dan berkesan.

Positif vs Negatif

Positif

  • Pengolahan jalan cerita yang menarik, lucu dan penuh aksi
  • Watak baharu yang berkaitan dengan watak sebelumnya
  • Babak penting yang mengisahkan sejarah Kapten Jack Sparrow
  • Kesan khas, lagak ngeri dan CGI yang baik

Negatif

  • Sesetengah babak agak gelap dan sukar untuk melihat apa yang berlaku.
  • Dari struktur jalan cerita, ia agak sama dengan kebanyakan filem Pirates of the Caribbean

Kesimpulan

Kesimpulannya ada 3 sebab mengapa anda perlu menonton filem Pirates of the Caribbean Salazar Revenge. Pertama ia seperti menjadi jambatan antara generasi pertama watak utamanya dengan generasi seterusnya. Banyak perkara penting yang perlu ditonton dalam filem ini dan jika anda terlepas mungkin anda tidak akan memahami filem seterusnya. Kedua, satu atau dua filem dalam francais sebelum ini tidak begitu menarik sehingga kami pun tidak beriya-iya untuk menonton filem ini, tetapi nampaknya filem ini cukup menghiburkan dan dipenuhi isi penting menyebabkan kami lebih beriya untuk menontonnya. Ketiga, bila lagi nak tengok Kapten Jack Sparrow semasa muda melainkan dalam filem ini (anehnya suaranya semasa muda sama dengan sekarang. Jelas sekali suaranya menjalani proses dubbing).

Penilain: 7.5

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top