Antarabangsa

Patriots Day [Review]

Pada 15 April 2013, Amerika dikejutkan dengan pengeboman yang berlaku di acara marathon Boston oleh dua pengebom adik beradik Chechnya, Dzhokhar Tsarnaev dan Tamerlan Tsarnaev. Filem Patriots Day mengisahkan secara kronologi kejadian yang berlaku pada hari berkenaan.

Patriots day

Patriots Day [Review]

Seperti filem Deepwater Horizon, filem Patriots Day adalah sebuah kisah benar mengenai kejadian pengeboman marathon Boston pada 15 April 2013. Ia mengisahkan secara kronologi, kejadian-kejadian yang berlaku dari pagi hari pengeboman itu, sehingga seorang dari pengebom ditembak mati manakala seorang lagi ditangkap.

Bagi mereka yang telah membaca atau menonton berita TV mengenai kejadian ini mungkin telah tahu apa yang berlaku, namun ia memberikan lebih perincian tentang operasi menjejak dan menangkap para pengebom itu.

Jalan cerita dan lakonan

Jalan cerita filem ini mengikuti beberapa watak penting sepanjang krisis berkenaan seperti Tommy Saunders lakonan Mark Wahlberg yang merupakan anggota polis utama yang menguruskan keselamatan pada acara marathon Boston dan Special Agent Richard DesLauriers yang merupakan agen FBI yang mengetuai penyiasatan yang membawa kepada penangkapan dan pembunuhan para pengebom tersebut.

Oleh kerana ia melibatkan ramai watak penting, jalan cerita akan beralih-alih fokus antara semua watak utama. Ini memerlukan penonton memberikan fokus kepada jalan cerita supaya tidak keliru dengan jalan ceritanya. Pembikin filem ini telah memikirkan kemungkinan kekeliruan, jadi mereka telah memaparkan nama-nama watak-watak tersebut sebaik mereka muncul dalam filem ini. Ini membolehkan penonton mengenali siapa mereka dan apa peranan mereka dalam filem ini.

Terdapat beberapa babak aksi tembak menembak yang sangat sengit tetapi kami tidak pasti samada kejadian tembak menembak sebenar benar-benar begitu sengit atau pembikin filem ini hanya menokok tambah untuk memberikan kesan yang lebih gempak.

Secara keseluruhan, cara penyusunan ceritanya berkesan untuk membolehkan mereka yang tidak mengikuti kejadian tersebut, seperti kami, memahami apa yang berlaku.

Para pembikin filem ini juga ingin memberikan mesej kasih sayang akan mengalahkan kejahatan dalam filem ini dan seperti biasa akan memaparkan penduduk Boston sebagai tabah, penyayang dan kuat. Sama seperti mana-mana “propaganda” Amerika.

Positif vs Negatif

Positif

  • Susun atur kejadian yang membolehkan cerita difahami dengan mudah
  • Memberi inspirasi

Negatif

  • Kejadian tembak menembak yang begitu sengit yang tidak dapat dipastikan kesahihannya

Kesimpulan

Filem Patriots Day mendapat penilaian yang agak tinggi di Amerika Syarikat. Kami berpendapat ia kerana kejadian pengeboman marathon Boston ini sangat menyentuh perasaan mereka yang terlibat di samping keseluruhan penduduk Amerika. Namun bagi mereka yang bukan orang Amerika, mungkin tidak akan terkesan sangat dengan filem ini. Terdapat juga babak akhir yang memaparkan temuramah orang-orang sebenar yang dimainkan dalam filem ini dan bagaimana mereka meneruskan kehidupan selepas kejadian pengeboman tersebut.

Kami boleh merekomen filem ini, tetapi hanya jika anda menonton dengan tiket murah seperti tiket awal pagi yang lebih murah dari tiket biasa.

Penilaian: 6.5/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top