Antarabangsa

Murder on the Orient Express [Review]

Murder on the Orient Express sebenarnya adalah sebuah filem pembikinan semula filem dengan tajuk sama dari tahun 70an. Filem kali ini dilakonkan pelbagai pelakon handalan seperti Johnny Depp, Daisy Ridley, Willem Dafoe dan Michelle Pfeiffer. Filem misteri penyiasatan ala Sherlock Holmes ini menarik minat kami untuk menontonnya di pawagam.

Murder on the Orient Express [Review]

Murder on the Orient Express mengisahkan seorang detektif berbakat luarbiasa bernama Hercule Poirot. Setelah menyelesaikan satu kes kecurian artifak agama berharga di Baitulmaqdis, beliau diarahkan menyiasat satu kes di London. Untuk itu beliau terpaksa berlayar ke Istanbul dan kemudian menaiki keretapi Orient Express.

Penumpang keretapi itu terdiri daripada penumpang yang mempunyai latarbelakang yang berbeza-beza. Watak yang diperhatikan ialah Edward Ratchett lakonan Johnny Depp, seorang penjenayah dan penipu yang diburu oleh mafia Itali.

Perjalanan keretapi tersebut mengambil masa 3 hari, tetapi pada malam kedua, satu runtuhan salji telah berlaku menyebabkan keretapi tergelincir dari landasan. Semua penumpang terselamat, namun didapati En. Ratchett telah dibunuh di biliknya, ditikam berkali-kali.

Poirot yang asalnya mahu bersara setelah menyiasat kes terakhirnya, mengambil keputusan untuk menyiasat dan menyelesaikan kes pembunuhan tersebut. Tetapi siapakah di kalangan penumpang-penumpang yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat telah membunuh En Ratchett? Itulah jawapan yang dicari-cari Poirot dalam filem ini dan tontonlah ia untuk mengetahui jawapannya.

Review

Perkara pertama yang anda sedari semasa menonton filem ini ialah kualiti sinematografinya yang menggambarkan dunia Palestin, Istanbul dan Eropah yang kami anggarkan pada sekitar tahun 1930an memandangkan Palestin dilihat di bawah penguasaan British dan model kereta-kereta yang dipaparkan dalam filem ini. Penyediaan set dan tema 30an dalam filem ini sangat berkesan dalam memberikan kepada penonton mood 1930an ketika menontonnya.

Dengan barisan pelakon handalan, penonton memang boleh mengharapkan lakonan mantap, terutamanya dengan watak-watak filem yang mempunyai pelbagai perwatakkan berbeza. Skrip dan dialog juga ditulis dengan begitu baik, berpadanan dengan perwatakan setiap watak dalam filem ini.

Tetapi plot merupakan perkara teras dalam filem misteri penyiasatan seperti ini dan nampaknya ia tidaklah mencapai harapan yang kami letakkan. Sebagai peminat siri TV Sherlock, putaran plot dan kompleksitinya penting dalam memberikan rasa kepuasan dalam menonton dan bersama-sama menyelesaikan kes. Siri TV tersebut sememangnya pakar dalam membuat putaran plot yang sememangnya tidak boleh dijangka. Tetapi, mungkin kerana terlalu biasa menonton Sherlock, plot filem Murder on the Orient Express secara reletifnya kelihatan agak mudah dan boleh dijangka. Malah, pada awal filem, ketika terjumpanya mayat En. Ratchett, kami sudah boleh mengagak siapa yang membunuhnya. Tetapi itu kami, tidak semua orang mempunyai otak ala pembunuh seperti kami. Jika anda minat filem penyiasatan sebegini dan suka berfikir dan meneka siapakah identiti pembunuh, anda mungkin akan terhibur mengikuti plot filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Sinematografi yang baik
  • Plot yang berputar belit.
  • Lakonan mantap pelakon handalan

Negatif

  • Bagi peminat Sherlock, mungkin plotnya agak mudah dan mendatar.
  • Durasi filem yang agak pendek.
  • Filem ini khas untuk peminat filem misteri penyiasatan. Jika anda bukan peminat, berkemungkinan besar anda akan tidur dalam pawagam.

Kesimpulan

Filem Murder on the Orient Express sememangnya sebuah filem niche khas buat peminat filem misteri penyiasatan. Ia penuh dengan dialog, penceritaan, teka-teki, putaran plot dan kurang atau hampir tiada babak aksi. Ia memerlukan fokus kepada dialog dan plot yang tidak berbelah bahagi. Jadi, jika anda bukan peminat filem sebegini rasanya tiada keperluan anda menonton filem ini. Anda mungkin akan tertidur di dalam pawagam. Jika anda peminat filem sebegini, anda akan terhibur. Tetapi bagi kami yang telah terbiasa dengan genre penyiasatan seperti ini, kepuasan kami tidak terasa kerana kami telah mengagak siapa pembunuhnya di awal filem dan ternyata benar di penghujungnya.

Fakta: Sequel filem ini telahpun diumumkan. Apakah temanya? Ia disebut di penghujung filem pertama ini. Untuk mengetahuinya, tontonlah filem ini di pawagam.

Penilaian: 7/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top