Antarabangsa

Logan [Review]

Sejak pertama kali menonton trailer filem Logan, kami sudah tahu, filem ini bukan seperti filem-filem X-Men atau The Wolverine sebelum ini. Kami berpeluang menonton filem baharu ini di pawagam dan berikut adalah pendapat kami mengenai filem ini.

Logan [Review]

Dalam filem Logan yang berlangsung di sekitar tahun 2024, populasi mutan telah hampir pupus dan manusia tidak lagi memburu mutan. Ketika ini, Logan (Wolverine) telah tua dan sakit akibat kesan sampingan logam Adamantium yang dimasukkan ke dalam badannya.

Dia kini bekerja sebagai pemadu untuk aplikasi seakan Uber dan berhajat untuk mengumpul duit untuk membeli sebuah bot untuk melarikan diri ke tempat lain bersama Professor X dan seorang lagi mutan, Caliban. Professor X juga telah kehilangan segalanya memandangkan tiada mutan baru wujud dan sekolahnya ditutup. Beliau juga mengalami penyakit saraf yang menyebabkan dia mengalami sawan jika tidak mengambil ubat. Sawan ini akan menyebabkan satu gelombang gangguan yang menyebabkan semua orang kecuali Logan menjadi lumpuh selagi beliau mengalami sawan.

Suatu hari Logan didatang seorang wanita bernama Gabriela yang meminta bantuan daripadanya. Pada mulanya Logan menolak. Kemudian beliau didatangi pula agen keselamatan dari syarikat biogenetik Alkali bertanyakan tentang Gabriela.

Setelah kali kedua berjumpa, barulah diketahui bahawa Gabriela ingin bantuan Logan untuk membawa seorang kanak-kanak bernama Laura ke satu lokasi koordinat di Dakota Utara. Memandangkan Gabriela menawarkan USD50,000 dan Logan sememangnya memerlukan wang itu, beliau bersetuju untuk membantu. Setelah Gabriela dijumpai mati dan Laura mengikuti Logan pulang ke rumahnya, Logan mendapati seluruh bala tentera Alkali memburunya.

Siapakah Laura dan mampukah Logan mengelak tentera Alkali dan menghantar Laura ke koordinat tersebut? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita Dan Lakonan

Filem Logan sememangnya berbeza dari filem-filem X-Men dan The Wolverine dari segi ia bukanlah setakat filem aksi dan adiwira sahaja. Malah ia turut menerapkan elemen kemanusiaan, kekeluargaan dan persahabatan yang menyentuh perasaan. Jalan cerita juga didedahkan pada kadar yang tidak terlalu cepat dan tidak terlalu perlahan, membolehkan penonton memahami dan menghayati mesej yang disampaikan dalam filem ini.

Jika anda menumpukan perhatian, filem ini juga membawa beberapa mesej tersirat seperti bagaimana syarikat-syarikat multinasional menggunakan negara-negara membangun untuk menjalankan aktiviti haram mereka kerana negara tersebut samada terdedah kepada rasuah atau tidak mempunyai sistem keadilan yang baik. Pada masa yang sama ia menunjukkan orang-orang di negara tersebut mempunyai hati yang baik, tidak seperti eksekutif syarikat yang berhati batu. Isu kenderaan berautonomi juga diketengahkan di mana di jalan raya pada zaman itu, lori kontena semua menggunakan lori berautonomi yang boleh memandu sendiri tanpa input manusia.

Babak aksinya sangat ganas, jadi kami menegah sekerasnya membawa kanak-kanak kecil ke panggung wayang walaupun secara sorok-sorok. Ini kerana filem ini memaparkan kanak-kanak mutan membunuh orang dewasa dengan kelebihan mereka dan cara membunuhnya bukan sebarangan, kaki dan tangan terputus adalah biasa sahaja dalam filem ini.

Lakonan Hugh Jackman dan Patrick Stewart tidak perlu dikatakan lagi kerana mereka sememangnya pelakon hebat, namun lakonan Dafne Keen harus diberi pujian terutamanya kerana kelincahannya dalam babak-babak lawan yang sememangnya menakjubkan untuk umurnya.

Positif Vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang mempunyai banyak elemen kemanusian dan kekeluargaan berbanding filem X-Men lain
  • Babak aksi dan berlawan yang sememangnya hebat dan mendebarkan
  • Kehadiran komik X-Men yang membintangi Wolverine dalam sebuah filem X-Men seperti ini.

Negatif

  • Tiada watak-watak mutan lain yang biasa kita lihat.
  • Tiada babak tersembunyi di penghujung babak kredit.

Kesimpulan

Kami sememangnya merekomen anda yang berumur 18 tahun ke atas menonton filem ini, walaupun anda bukan peminat X-Men kerana walaupun ia sebuah filem X-Men, ia membawa mesej kemanusian yang lebih universal. Ia bukanlah filem aksi semata-mata tanpa sebarang pengajaran moralnya. Malah ada sesetengah babak yang sedih seolah-olah ada orang memotong bawang. Jadikanlah ini filem seterusnya tontonan anda dan rakan-rakan.

Penilaian: 8/10

IMDB

1 Comment

1 Comment

  1. Pingback: Reviu: Logan – Kelas Bahasa Melayu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top