Antarabangsa

Kingsman The Golden Circle [Review]

Filem Kingsman pertama sememangnya sebuah filem yang menghiburkan dan kebanyakan orang yang telah menontonnya, rata-rata menyukai filem tersebut. Kini, sekuelnya, Kingsman The Golden Circle, telah mula ditayangkan di pawagam setelah lebih 2 tahun filem pertama ditayangkan dan kami berpeluang menontonnya di pawagam.

Kingsman The Golden Circle [Review]

Setelah “kematian” Harry dalam filem pertama, Eggsy kini telah menjadi seorang agen kanan dalam Kingsman dengan nama agen Galahad (menggantikan Harry). Semuanya baik-baik sahaja sehingga seorang ketua kartel dadah terbesar dunia, bernama Poppy Adams, CEO Golden Circle telah menyasarkan dan menghapuskan semua agen dan ibupejabat Kingsman di UK dengan menggodam pangkalan data Kingsman. Eggsy yang ketika itu makan malam bersama keluarga bakal mertuanya (Raja Sweden), terselamat bersama Merlin yang maklumatnya tidak diletakkan dalam pangkalan data Kingsman.

Oleh kerana Kingsman UK telah dihapuskan Eggsy telah mengikuti protokol Doomsday yang mengarahkan mereka ke Kentucky, USA di mana mereka diperkenalkan kepada organisasi Statesman, iaitu organisasi sama dengan Kingsman, tetapi merupakan cawangan Amerika. Statesman juga menyimpan satu kejutan menarik kepada Eggy dan Merlin. Apakah kejutan itu? Tontonlah sendiri filem ini.

Mereka kemudian bekerjasama untuk menyiasat siapakah di sebalik Golden Circle. Sementara itu Golden Circle telah mencemarkan bekalan dadah dengan virus yang telah direka untuk membunuh penggunanya secara perlahan dan mengugut presiden Amerika untuk membenarkan operasi jual beli dan penggunaan dadah di Amerika untuk mendapatkan penawarnya.

Mampukan kumpulan Kingsman dan Statesman menyelamatkan dunia? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Harapan yang tinggi diletakkan pada sequel filem Kingsman ini dan ia tidak menghampakan. Tema filem yang seragam dapat dilihat dalam Kingsman The Golden Circle — lucu, unik dan menghiburkan bercampur dengan sedikit unsur ganas yang agak melampau. Oleh kerana itu, ia diklasifikasikan untuk penonton 18 tahun ke atas sahaja.

Filem ini menawarkan aksi-aksi yang mendebarkan, lawak jenaka spontan dan gajet-gajet menarik, tetapi seperti filem pertama, babak ganasnya agak keterlaluan, tambahan pula babak ganas itu adalah sebahagian dari lawak jenakanya. Jadi sesetengah orang keliru untuk gelak ataupun berasa jelik. Beberapa babak yang lucah juga telah disunting keluar dari filem ini, jadi penonton akan menyedari terdapat bahagian-bahagian filem in yang telah terpotong.

Secara keseluruhannya, Kingsman The Golden Circle membawa plot anti dadah (mungkin juga pro arak) yang separa serious, separa lawak yang unik untuk siri filem Kingsman ini. Plotnya mempunyai putara-putarannya yang tersendiri dan secara umumnya menghiburkan. Lakonan juga memainkan peranan penting dalam filem ini terutamanya bagi watak Poppy Adams yang wataknya seorang psikopat yang ceria, tetapi kejam tanpa belas kasihan. Malangnya, kami dapati wataknya tidak berapa menjadi. Lakonannya tidaklah teruk, namun kami rasakan terdapat pelakon lain yang boleh melakonkan watak itu dengan lebih baik.

Menariknya, terdapat kemunculan eksklusif Sir Elton John dalam filem ni yang menjadi tebusan Poppy Adams dan dipaksa memainkan lagu untuknya. Wataknya lucu, tetapi olehkerana beliau adalah penyanyi, bukan pelakon, lakonannya agak hambar. Tetapi itu boleh dimaafkan.

Positif vs Negatif

Positif

  • Lawak jenaka yang lucu
  • Aksi yang mendebarkan
  • Jalan cerita menarik

Negatif

  • Aksi ganas yang keterlaluan
  • Tidak sehebat filem pertama

Kesimpulan

Kingsman The Golden Circle merupakan sebuah filem menarik, lucu dan menghiburkan. Namun, ia tidaklah sehebat filem pertama. Tetapi itu tidak menghalang kami merekomen filem ini untuk ditonton semua, terutamanya peminat filem Kingsman pertama. Anda tentu tidak akan menyesal.

Penilaian; 7.5/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top