Antarabangsa

IT [Review]

Admin pertama kali (dan kali terakhir) menonton filem IT yang asal adalah di TV semasa sekolah rendah. Ketika itu tiada lagi klasifikasi U, 18SG dan sebagainya. Walaupun admin menonton beramai-ramai bersama sepupu, pakcik, makcik dan datuk, nenek, admin masih berasa trauma menonton filem tersebut kerana keseramannya. Apa yang admin ingat adalah kesudahan filem tersebut tidak berapa menakutkan sebagaimana bahagian awalnya. Oleh sebab hanya acah-acah tonton, tidak banyak perkara yang boleh admin ingat mengenai jalan ceritanya. Kini setelah dewasa, filem baharu IT ini sememangnya dialu-alukan dan olehkerana admin dah kebal filem seram, bolehlah admin menontonnya dengan gembira.

IT [Review]

Filem IT merupakan pembikinan semula filem tersebut yang asalnya dibikin berdasarkan buku novel seram karangan Stephan King. Ia mengisahkan satu makhluk seram berbentuk badut yang menculik kanak-kanak di satu bandar kecil bernama Derry. Bill merupakan watak utamanya yang kehilangan adiknya hampir setahun lalu namun tidak mengetahui punca kehilangannya. Dengan kehilangan lebih ramai kanak-kanak di bandar tersebut, beliau mengajak rakan-rakannya untuk cuba mencari kanak-kanak yang hilang, yang dipercayainya berada di dalam sistem pembetungan bandar tersebut.

Sedang mereka mula menyiasat, makhluk badut itu mula mengganggu setiap seorang dalam kumpulan kawan itu. Mampukah mereka menyiasat misteri kehilangan kanak-kanak tersebut? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Pertama sekali, satu poin yang perlu diketengahkan dalam filem ini adalah ironinya situasi yang menyelubungi filem ini, di mana jalan ceritanya mengenai sekumpulan kawan kanak-kanak yang bekerjasama menyiasat misteri kehilangan kanak-kanak di bandar Derry, malah hampir kesemua pelakon-pelakon utamanya merupakan kanak-kanak tidak melebihi umur 13 tahun (pada anggaran admin). Sejujurnya filem ini dapat memberi pengajaran tentang persahabatan dan keberanian kepada penonton kanak-kanak. Ironinya, disebabkan keseramannya, ia hanya boleh ditonton oleh penonton 18 tahun ke atas.

Bercakap mengenai keseramannya, selepas menonton filem ini, admin faham kenapa admin begitu trauma menonton filem ini. Babak-babak seramnya sememangnya spontan dan datang dari entah mana. Biasanya dalam filem seram masakini terdapat babak panjang yang “menyediakan” penonton kepada satu kejutan, namun dalam filem ini babak berubah dari babak biasa kepada babak seram dengan sekelip mata tanpa disangka. Anda tidak ada peluang untuk “bersedia” menghadapi babak seram. Sungguhpun demikian, filem ini tidak bergantung kepada babak-babak mengejut sebagai sumber keseramannya. Sebaliknya ia memfokuskan kepada apa yang ditakutkan watak-watak individu dalam filem ini. Dengan kata lain keseramanya bersebab dan sangat bersifat peribadi. Seperti yang dikatakan di awal artikel ini, admin sudah kebal filem seram, jadi admin tidak takut, tetapi admin faham keseraman jenis ini sememangnya akan memberi kesan mendalam kepada kanak-kanak. Tidak hairanlah admin trauma dengan filem asal ini dahulu.¬†Tetapi, walaupun seram, ia mengimbangi keseraman ini dengan babak yang lebih ceria dan lucu bagi menenangkan penonton.

Walaubagaimanapun, selain babak-babak seramnya, filem ini juga merupakan sebuah filem adventure persahabatan yang baik. Jika tidak kerana klasifikasi 18 tahun ke atas yang diletakkan padanya, kanak-kanak dan remaja tentu akan suka menonton filem ini. Ia menyeronokkan dan bukan filem seram yang klise.

Dari segi watak IT pula, jika dibandingkan dengan rupa paras badut IT yang baharu ini, ia lebih seram (lebih kepada rupa orang psiko) berbanding rupa paras badut lama. Namun entah kenapa, admin terasa nak tampar muka badut itu setiap kali ia muncul. Rupanya seolah meminta untuk ditampar, atau disepak. Sila kongsikan pendapat anda mengenainya di ruang komen. Adakah anda terasa nak tampar badut itu setiap kali melihatnya? Apa pun sebabnya, perasan ingin menampar badut ini menyebabkan menonton babak kesudahannya sangat memuaskan hati. Anda perlu menontonnya sendiri untuk memahami sebabnya.

SPOILER: Didedahkan di bahagian kredit bahawa filem ini adalah IT Chapter 1…bermakna terdapat sequelnya nanti.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita menarik dan keseramannya tidak klise
  • Lakonan mantap dan sangat berkarektor
  • Terdapat sequel

Negatif

  • Perangai klise ditunjukkan watak-watak di mana mereka melihat suatu yang seram dan menuju ke arahnya. Manusia biasa akan melarikan diri, tetapi, tipikal dalam filem seram wataknya akan menuju kepada keseraman itu.
  • Tidak banyak perkara negatif boleh dikatakan mengenai filem ini selain itu.

Kesimpulan

Filem IT baharu ini merupakan sebuah filem yang baik, namun klasifikasinya meletakkannya pada satu kedudukan yang pelik. Mungkin ia disasarkan kepada generasi yang menonton filem asalnya pada awal 90an. Jika anda termasuk dalam golongan ini dan belum menonton filem asal, lebih baik tonton filem ini dan sequelnya dahulu sebelum menonton filem asal, barulah anda boleh membuat keputusan samada mahu atau tidak menonton dua buah filem asal. Apa pun, bersedialah untuk diseramkan oleh filem ini.

Penilaian: 8/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top