Antarabangsa

Guardians of the Galaxy Vol 2 [Review]

Kami kira ramai antara anda tertunggu-tunggu filem sekuel Guardians of the Galaxy Vol 2 untuk ditayangkan dan kini ia telah mula ditayangkan tentu anda tidak sabar menontonnya. Kami sempat menontonnya hari ini dan kini bolehlah anda mendapat gambaran tentang filem ini sebelum menontonnya hujung minggu ini.

Guardians of the Galaxy Vol 2

Guardians of the Galaxy Vol 2 [Review]

Guardians of the Galaxy Vol 2 merupakan sequel kepada filem pertama Guardians of the Galaxy Vol 2 dan dalam filem ini, secara keseluruhannya ia akan lebih mendalami watak utamanya Peter Quill aka Star-Lord dan sejarah di sebalik beliau dan bapanya.

Filem ini bermula dengan kumpulan Guardians diupah oleh puak Sovereign untuk mempertahankan sumber tenaga di planet mereka yang dinamakan “Bateri” dari dicuri oleh raksasa ganas. Namun, tanpa pengetahuan semua, Rocket pula telah mencuri beberapa bateri dari planet tersebut menyebabkan Guardians dikejar dan sebelum ditembak jatuh ke sebuah planet neutral oleh dron milik puak Sovereign, mereka diselamatkan oleh sebuah kapal angkasa dipandu orang aneh yang memusnahkan semua dron tersebut. Orang itu rupa-rupanya bapa kepada Peter Quill bernama Ego.

Bapanya menerangkan latarbelakang beliau dan juga sejarahnya dengan ibu Peter. Sejak itu ego berjanji mengajarnya untuk mencapai potensi sebenarnya. Namun, apakah motif sebenarnya memunculkan diri hanya setelah sekian lama? Ketahui jawapannya dengan menonton filem ini.

Jalan Cerita dan Lakonan

Masalah dengan filem-filem adiwira bajet besar dan bersiri seperti Guardians of the Galaxy ialah, apabila filem pertama berjaya menambat hati peminat dengan aksi-aksi hebat dan gelagat yang lucu, penonton akan meletakkan satu jangkaan tertentu terhadap filem sekuelnya. Filem ini merupakan salah satu filem tersebut. Kami bukan mahu mengatakan filem ini tidak bagus, malah aksi dan lawak jenakanya bakal menghiburkan anda sepanjang filem ini. Namun itu jugalah masalahnya, ia merupakan apa yang kami jangkakan; aksi yang mendebarkan dan lawak jenaka bersahaja. Tetapi dari segi jalan cerita, plotnya dan tahap kehebatannya, ia tidak menampilkan sesuatu yang luar dari jangkaan.

Tidak dinafikan, ia menampilkan satu elemen kekeluargaan yang sedikit menyentuh perasaan, namun secara keseluruhannya, ia tidak menampilkan kelainan yang berada di luar jangkaan penonton. Ia sangat menghiburkan dan bakal membuatkan anda bergelak ketawa, namun hanya setakat itu sahaja.

Lakonan watak-wataknya kali ini berjaya memaparkan lebih jelas karakter setiap watak itu. Dengan kata lain, watak-watknya kali ini lebih berkarakter dan penonton akan terasa lebih dekat dengan watak-watak, terutamanya watak Drax yang lebih lucu dan ceria berbanding dahulu.

Positif vs Negatif

Positif

  • Sememangnya lucu, beraksi dan menghiburkan
  • Seperti tradisi dalam filem Guardians, soundtracknya sememangnya terbaik.
  • Secara keseluruhannya, filem ini lebih “berperasaan”

Negatif

  • Jalan cerita yang OK sahaja

Kesimpulan

Filem Guardians of the Galaxy Vol 2 merupakan sebuah filem yang penuh dengan aksi mendebarkan, lawak jenaka bersahaja dan sememangnya dapat menghiburkan sesiapa sahaja yang menontonnya. Namun, jika anda mengharapkan lebih dari itu, anda mungkin akan hampa. Walaupun ia menampilkan 5 babak tersembunyi semasa bahagian kredit dimainkan dan menunjukkan beberapa kemungkinan untuk filem-filem akan datang, ia belum memperlihatkan sebarang kemungkinan pertembungan dengan watak-watak lain dari Marvel Comics. Selamat terhibur.

Penilaian: 8/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top