Antarabangsa

Dunkirk [Review]

Beberapa hari lalu tular mengenai komen artis Janna Nick yang memberi komen negatif mengenai filem Dunkirk hingga menyebabkan beliau tertidur di pertengahan filem berkenaan. Komen ini menerima kritikan hebat dari netizens. Kami di sini tidak mahu komen mengenai insiden berkenaan. Cukuplah kami menyatakan filem ini memerlukan “persediaan” sebelum menontonnya. Pertama anda perlu mengetahui siapa pengarah Christopher Nolan ¬†serta jenis-jenis filem yang diarahkannya dan kedua anda perlu mengetahui segala mengenai peristiwa Dunkirk dari segi signifikannya sejarah perang dunia kedua. Kami sememangnya seorang peminat sejarah perang dunia kedua, jadi filem in memang dinanti-nantikan kami.

dunkirk

Dunkirk [Review]

Dunkirk merupakan sebuah filem epic perang dunia kedua yang memaparkan insiden yang berlaku di Dunkirk, Perancis antara 24 Mei hingga 4 Jun 1940 di mana seramai lebih 400,000 tentera British Expeditionary Force (BEF) bersama tentera Perancis dikepung oleh tentera Jerman tanpa jalan keluar melainkan dengan menggunakan kapal laut. Malangnya, kapal terbang penyerang dan pengebom Jerman tersedia menunggu untuk mengebom setiap kapal yang cuba menyelamatkan tentera tersebut. Oleh itu pihak kerajaan British mengambil keputusan untuk menghantar bot-bot kecil milik orang awam untuk menyelamatkan tenteranya di pantai Dunkirk. Ini kerana bot kecil yang banyak lebih sukar menjadi sasaran kapal terbang Jerman dan bot kecil juga boleh mendarat di pantai untuk mengambil penumpang. Baca lebih lanjut mengenai peperangan di Dunkirk di Wikipedia.

Filem ini lebih menekankan kepada lakonan dan penceritaan visual berbanding dialog yang banyak dan mengajak penonton menghayati pengalaman ngeri yang dialami para tentera dan orang awam yang terlibat dalam operasi menyelamat di Dunkirk yang diberi nama Operation Dynamo.

Jalan Cerita

Kaedah penceritaan dalam filem Dunkirk boleh dikatakan antara tahap kesenian tertinggi dalam industri perfilman. Kisah Dunkirk diceritakan dari 3 sudut pandangan berbeza. Pertama dari sudut pandang askar di pantai yang terpaksa melalui keperitan dibom dan ditembak oleh pesawat pejuang Jerman, kedua dari sudut pandang juruterbang pesawat pejuang British yang bertugas untuk menembak jatuh pesawat pejuang Jerman, dan ketiga dari sudut pandang kelasi awam yang membawa bot berlayar dari Britain ke Dunkirk demi menyelamatkan anggota tentera British.

Setiap sudut pandang ini mempunyai watak utamanya dan setiap darinya bermula dalam aturan berbeza walaupun pada “timeline” yang sama. Ia sedikit mengelirukan pada mulanya, namun pengarah bijak menggunakan “time marker” atau petanda-petanda sama dalam setiap sudut pandang bagi menandakan detik-detik yang sama pada setiap sudut pandang berbeza. ini memudahkan penonton memahami susun atur kejadian yang berlaku.

Namun filem ini bukan setakat untuk ditonton dengan mata, malah perlu dirasakan dengan hati, barulah anda mendapat kepuasan menonton. Sehingga babak terakhirnya, anda akan merasakan satu perasaan hormat dan takjub terhadap mereka yang mengorbankan segalanya demi menyelamatkan rakan senegara. Bagaimana orang awam yang tidak perlu mengorbankan nyawa, secara sukarela melayar bot mereka ke Dunkirk bagi menjalankan tugas sebagai warganegara. Dengan kata lain, anda membaca buku untuk mengetahui sejarah, anda menonton filem ini untuk merasai sejarah.

Sinematografi dan Audio

Kami menonton filem ini dalam panggung wayang IMAX setelah direkomen oleh pengarahnya sendiri dalam prebiu filem ini di Youtube. Pilihan ini memang tidak mengecewakan kami. Pertama sekali kualiti audionya memang tiada tolok bandingnya. Letupan, tembakan dan setiap bunyi yang dihasilkan seolah-olah anda berada sendiri di Dunkirk. Cuma mungkin audionya dipasang pada volume yang terlalu tinggi, sesetengah bunyinya pecah. Contohnya semasa babak serangan pesawat “Stuka”. Pesawat ini memang terkenal dengan kaedah serangan secara menjunam dan semasa ia menjunam, ia mengeluarkan bunyi siren bagi menakutkan sasarannya. Bunyi yang siren yang dihasilkan di pawagam ini terlalu kuat sehingga bunyinya pecah. Kami tidak pasti samada bunyinya sememangnya sebegitu atau ia satu kelemahan audio, tetapi bunying memang menakutkan.

Dari segi sinematografi, pengarah Chris Nolan telah berjaya meletakkan kamera IMAX pada kedudukkan-kedudukan yang biasanya sukar untuk diletakkan kamera tersebut yang bersaiz besar dan berat. Namun beliau berjaya menjayakan beberapa babak yang sukar menggunakan kamera IMAX. Antara yang terbaik adalah babak peperangan udara antara pesawat Spitfire British dengan Bf 109 Jerman yang walaupun tidak sehebat filem top gun atau Pearl Harbour, ia 100% realisitik dan menepati hukum fizik tanpa penggunaan CGI. Ia juga meletakkan anda di dalam kokpit pesawat dan mengalami sendiri pengalaman berperang dengan pesawat Jerman.

Tontonlah filem ini dalam IMAX. Memang anda tidak akan menyesal. Tips: IMAX di TGV Sunway Velocity Cheras masih dalam promosi RM19. (Kami tidak ditaja TGV. Ini tips ikhlas dari kami)

Positif vs Negatif

Positif

  • Sinematografi dan audio yang cemerlang
  • Teknik penceritaan yang juga cemerlang
  • Tiada babak ganas melibatkan darah ataupun anggota badan yang bercerai

Negatif

  • Jika anda tidak minat sejarah perang dunia kedua atau tidak membaca terlebih dahulu sejarah kejadian di Dunkirk, kami hampir pasti anda akan tertidur seperti Janna Nick

Kesimpulan

Kesimpulannya mudah, cuba anda tanya diri anda, “adakah anda mengetahui mengenai apa yang berlaku di Omaha Beach?”. Jika anda tidak dapat menjawab soalan itu, kebarangkalian anda akan meminati filem ini adalah rendah kerana kejadian di Omaha Beach lebih terkenal dari kejadian di Dunkirk. Tetapi jika anda memang meminati filem epik sejarah, filem ini memang niche untuk anda. Sungguhpun ia tidak penuh aksi seperti Saving Private Ryan, filem ini ikhlas dan realistik. Tiada “happy ending” dalam filem ini, cuma ada pengajaran.

Penilaian: 9/10

IMDB

2 Comments

2 Comments

  1. Bugman

    July 30, 2017 at 4:19 AM

    Bias… the worst from nolan … serius tak tipu

    • iMyn

      August 5, 2017 at 1:08 AM

      Pendapat anda langsung tak salah. Filem ni memang sangat niche. Samada anda suka gila atau benci gila. Rata-rata yang suka filem ini adalah samada World War 2 geek atau golongan yang mendalami seni filem secara professional (Kebetulan admin memang geek sejarah WW2). Ia sebuah filem mengenai pengalaman orang dalam peristiwa Dunkirk. Ia menekankan bagaimana memaparkan pengalaman secara serealistik mungkin, berbanding jalan cerita. Memang tidak ramai yang gemar filem sebegini di Malaysia dan tidak salah pun. Lain orang lain minat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top