Antarabangsa

Death Note Light Up The New World [Review]

Pejam celik, sudah 10 tahun berlalu sejak tayangan filem Death Note terdahulu dan ketika itu kami masih ingat ia merupakan sebuah filem yang diikuti ramai sehinggakan para penggemar budaya Jepun turut menampilkan pakaian fesyen menyerupai Misa Amane, watak kekasih Kira yang turut mempunyai senaskah Death Note. Kini sequelnya telah tiba dan terima kasih kepada GSC Cinemas kerana menaja tiket tayangan perdana filem ini, membolehkan kami menampilkan review bagi filem ini.

Death Note Light Up The New World [Review]

Death Note Light Up The New World berlangsung 10 tahun selepas kematian Kira dan L dalam filem sebelumnya. Dalam dunia ini, Raja Shinigami menurunkan 6 naskah Death Note ke bumi di mana itulah jumlah maksimum Death Note yang boleh berada di muka bumi dan jika diturunkan yang ke tujuh, buku tersebut tidak akan berfungsi.

Oleh kerana buku-buku tersebut turun secara rawak ke bumi, terdapat banyak kes kematian yang tidak dapat dijelaskan telah berlaku di serata dunia akibat penggunaan Death Note oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Namun, pengganti Kira telah muncul dan ingin mengumpulkan kesemua Death Note untuk dirinya sendiri, seterusnya menyambung legasi Kira yang kononnya ingin menghapuskan orang jahat dari muka bumi.

Pada masa yang sama satu pasukan khas penyiasat Death Note telah ditubuhkan yang turut menyertakan pengganti L, iaitu Ryuzaki. Pasukan ini diketuai Tsukuru Mishima. Tetapi di sebalik operasi ini, pihak kerajaan juga ingin mengumpulkan semua Death Note kononnya untuk tujuan keselamatan.

Mereka bertungkus-lumus menyiasat siapakah sebenarnya pengganti Kira atau Neo Kira itu. Dapatkah mereka menghentikannya sebelum ia menghapuskan lebih ramai orang.

Jalan Cerita dan Lakonan

Secara ringkas kami boleh nasihatkan bahawa jangan menonton filem ini dalam keadaan letih atau mengantuk. Seperti filem sebelumnya, ia memerlukan tumpuan yang tidak berbelah bagi untuk mengikuti jalan ceritanya yang sangat teknikal. Kegagalan untuk membaca sarikata pada kadar yang optimum juga akan menyebabkan banyak poin-poin jalan ceritanya hilang.

Walaubagaimanapun, kami rasakan bahawa susun atur jalan ceritanya sedikit tergesa-gesa dan tidak sebaik filem sebelum ini. Filem Death Note dan Death Note 2 nyata lebih tersusun dari segi jalan ceritanya dan lebih mudah difahami berbanding filem terbaharu ini. Bagi mereka yang sememangnya mengukuti filem 1 dan 2, mungkin akan sedikit kecewa, terutamanya penggunaan beberapa taktik yang lebih kurang sama untuk mengalahkan Neo Kira dalam filem ini.

Lakonan dalam filem ini juga sedikit mengecewakan bagi sesiapa yang sudah terbiasa dengan lakonan mantap Tetsuya Fujiwara dan Ken’ichi Matsuyama dalam dua filem pertama. Lakonan dalam filem ini, walaupun berjaya menampilkan karekter masing-masing, hanya berada pada tahap biasa sahaja.

Kesan Khas

Kesan khas dalam filem ini lebih baik berbanding filem-filem sebelumnya, namun CGI untuk shinigami masih mempunyai ruang untuk diperbaiki. Kesan khas tembakan dan bunyi tembakan ternyata agak baik bagi sesebuah filem Jepun, walaupun tidak sehebat filem Holywood. Namun, tiada apa-apa istimewa tentang sinematografinya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Kesan khas yang diperbaiki, walaupun bukanlah yang terbaik
  • Jalan cerita yang menguji minda.

Negatif

  • susun atur jalan cerita yang agak kelam kabut.
  • lakonan tahap biasa sahaja
  • jika dibandingkan dengan filem 1 dan 2, ia jauh ke belakang

Kesimpulan

Bagi mereka yang tidak pernah menonton filem-filem Death Note sebelum ini, pastikan anda menontonnya sebelum menonton Death Note Light Up The New World, jika tidak, anda mungkin dapat memahami dunia shinigami dan Death Note ini. Bagi yang sememangnya mengikuti filem-filem tersebut, filem terbaharu ini menawarkan sebahagian debaran penyiasatan yang sama dengan dua filem pertama, tetapi jika anda mengharapkan ia tampil dengan jalan cerita yang lebih baik dari dua filem pertama, anda akan kecewa. Sungguhpun demikian, anda tetap boleh terhibur dengan menonton filem ini, tetapi kami rasakan ia disasarkan untuk satu generasi penonton yang baharu.

Penilaian: 6/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top