Antarabangsa

Deadpool [Review]

Deadpool sememangnya sebuah filem yang dinanti ramai. Cara ia dipromosikan lucu dan “mengelirukan” (dipromosikan sebagai filem cinta dan bukan aksi komedi) menambahkan lagi debaran untuk menonton filem ini. Akhirnya kami berpeluang menonton filem ini dan memberi kata dua mengenainya.

deadpool1-gallery-image

Deadpool [Review]

Deadpool mengisahkan Wade Wilson, seorang bekas pasukan khas tentera yang merupakan seorang “pembuli upahan” yang “menghukum” mereka yang menindas orang lain dengan upah. Beliau telah menemui kekasih hatinya yang sememangnya secocok dengannya. Namun setelah beberapa ketika bersamanya, mereka mendapat tahu bahawa Wade menghidapi kanser peringkat akhir dan hanya ada beberapa bulan untuk hidup.

Ketika itu seorang agen daripada organisasi gelap telah menawarkan satu rawatan yang boleh merawat penyakit kanser yang dihidapinya. Malangnya, rawatan itu sebenarnya mengaktifkan gen mutan dalam dirinya dan menjadikannya seorang mutan hodoh yang tidak boleh mati walaupun ditikam, dibakar atau dipotong anggotanya.

Bermula dari saat itu beliau mencari semula organisasi gelap tersebut dan ketuanya, Ajax, untuk mendapatkan penawar dan membalas dendam. Mampukah beliau sembuh dan membalas dendam ke atas ketidakadilan yang dilalunya? Tontonlah filem ini di pawagam berhampiran anda.

deadpool-gallery-03-gallery-image

Jalan Cerita Dan Lakonan

Secara umumnya, jalan cerita Deadpool lebih kurang seperti kebanyakan filem adiwira lain iaitu wiranya terkena mutasi disebabkan perbuatan watak jahat dan beliau ingin membalas dendam. Tiada apa yang istimewa tentang jalan ceritanya, tetapi apa yang sangat unik ialah bagaimana filem ini diolah menjadi sebuah filem komik yang sangat lucu, bersahaja dan kreatif.

deadpool-gallery-07-gallery-image

Apa yang lebih menarik ialah watak Deadpool yang “jujur” dan bercakap seolah beliau sedang bercakap dengan penonton dan sebagai seorang penonton filem, bukan pelakon dalam filem tersebut. Malah sesetengah babak dalam filem ini mengkritik filem itu sendiri sebagaimana seorang penonton akan mengkritik sebuah filem. Contohnya babak di pangkalan X-Men. Deadpool hairan kenapa beliau hanya berjumpa dua X-Men  sahaja dalam pangkalan itu. Beliau merasakan pengarah tidak cukup bajet untuk menupah pelakon tambahan. Anda perlu menonton filem ini untuk mengetahui apa maksud kami.

deadpool-gallery-02-gallery-image

Watak Deadpool yang bersahaja dan sarkastik pada tahap maksima memberikan penonton perasaan lebih rapat dengan wataknya serta menyebabkan penonton tidak kering gusi dengan lawak-lawak yang ditampilkan.

Namun, harus diingat, filem ini hanya untuk golongan 18 tahun ke atas. Ia mempunyai dialog kata-kata kesat dan babak ganas yang bersahaja yang sememangnya tidak sesuai untuk golongan 18 tahun ke bawah. Tetapi unsur-unsur tersebut penting bagi identiti filem tersebut dan pujian harus diberikan kepada Lembaga Penapisan Filem kerana tidak memotong babak-babak tersebut kerana jika mereka memotongnya filem ini tentunya menjadi sebuah filem 30 minit tanpa isi.

deadpool-gallery-01-gallery-image

Sinematografi dan Kesan Khas

Cara bagaimana babak-babak filem ini dipersembahkan sememangnya satu hasil seni yang menarik, terutamanya babak pembukaan. Namun, jelas sekali CGI digunakan dalam sesetengah babak-babak lawan kerana gerakan yang dilakukan agak sukar dibuat tanpanya.

Muzik dan Kesan Bunyi

Muzik yang ditampilkan agak catchy tetapi tidak disuaikan dengan babaknya. Namun ia memang disengajakan untuk menampilkan situasi “ironik“. Sebagai contoh, dalam satu babak tembak menembak, lagi cinta dimainkan di latarbelakang.

deadpool-colossus-header

Positif dan Negatif

Positif

  • Lawak jenaka bersahaja memecah perut.
  • Cara olahan visual yang kreatif.
  • Cara penceritaan yang kreatif dan bersahaja.

Negatif

  • Ganas dan banyak kata-kata kesat. Tambahan pula keganasan yang ditampilkannya seperti bersahaja. Pengaruh berbahaya kepada kanak-kanak.
  • Jalan cerita yang pendek, anda akan terasa tidak cukup.

Kesimpulan

Filem Deadpool merupakan sebuah filem wajib tonton bagi mereka berumur 18 tahun ke atas. Penampilan babak ganas yang bersahaja tidak sesuai ditonton mereka yang mereka yang tidak dapat membezakan baik dan buruk. Tetapi secara keseluruhan ia sangat menghiburkan dan kelakar. Kami jamin anda tentu akan terhibur menonton filem ini dan jangan lupa menonton babak rahsia selepas senarai kredit.

Penilaian : 8/10

IMDB

3 Comments

3 Comments

  1. Pingback: Deadpool | Kedai KoPi

  2. musadun

    February 15, 2016 at 3:06 PM

    yang penting, ada anak-anak, memang jangan bawa tengok deadpool ni. bahasa yang digunakan tak appropriate. dan jangan salah anggap movie ni sama dengan avengers tu..kalau avenger, memang untuk budak je..hehe

    • iMyn

      February 15, 2016 at 4:15 PM

      Tepat sekali! Dan cara Deadpool memperlekehkan aksi ganas dan bunuh membunuh membawa pengaruh tidak baik kepada budak-budak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Most Popular

To Top